Masa depan pemikir, ahli falsafah di Malaysia
Antara nama yang seringkali diangkat ialah Syed Muhammad Naquib al-Attas, Usman Awang dan A Samad Said.
Terkini
Sehingga hari ini, Azizi Jusoh masih berbangga dengan pencapaian akademiknya sebagai graduan ijazah sarjana falsafah dari United Kingdom meskipun sudah hampir tiga dekad berlalu.
Selepas pulang ke tanah air, beliau sering membuat perjumpaan dengan rakan-rakan dan mereka meminta Azizi berbicara tentang ilmu falsafah yang dipelajarinya di negara Eropah.
Beliau juga seringkali mencadangkan tajuk-tajuk buku yang sesuai untuk dibaca oleh rakan-rakannya yang berminat untuk mendalami falsafah di luar universiti.
Bercakap kepada MalaysiaNow, Azizi berkata terdapat beberapa syarikat penerbitan tempatan yang aktif menjual buku-buku falsafah daripada luar negara termasuk terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.
Katanya, tidak menghairankan terdapat segelintir ahli masyarakat yang berminat untuk mendalami ilmu falsafah kerana ia menawarkan perspektif yang lebih luas dalam menilai isu dan permasalahan dalam kehidupan seharian.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lepas situasi itu mula berubah apabila beliau menyedari pergerakan yang perlahan dalam menerbitkan buku-buku falsafah di Malaysia, sebaliknya tumpuan penerbit kepada genre politik dan novel fiksyen yang bersandarkan kepada imaginasi penulis.
“Kalau anda melawat pesta buku antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini juga boleh nampak terlalu banyak buku-buku novel dan bahan bacaan agama.
“Tiada pihak penerbit yang menawarkan bahan bacaan kritikal kepada pengunjung. Adalah sedikit tapi bukannya buku-buku yang baru, kebanyakannya cetakan lama,” katanya sambil menambah tidak menolak kemungkinan syarikat penerbitan perlu mengambil kira minat dan permintaan para pembaca bagi memastikan kelangsungan industri buku negara.
“Di peringkat akademik, sudah banyak universiti yang tidak lagi menawarkan pengajian falsafah untuk peringkat ijazah sarjana dan PhD (doktor falsafah). Ini membimbangkan,” katanya.
Kini, di benak fikiran Azizi terfikir, siapa yang akan menjadi pemikir dan ahli falsafah untuk masa depan Malaysia?
Menjawab soalan itu, pengkritik sosial Chandra Muzaffar berkata lazimnya, golongan yang terlibat dalam proses pemikiran dalam sesebuah masyarakat tidak semestinya datang dari latar belakang tertentu.
Katanya, golongan itu boleh jadi datang dari ahli akademik kerana mereka lebih cenderung bercakap tentang falsafah.
“Kalau kita tengok dalam sejarah, ada pemikir yang tak ada kena mengena dengan universiti. Sebagai contoh dalam sejarah, Socrates bukan lulusan universiti dan bukannya yang memiliki ijazah dan sebagainya.
“Tetapi tak dapat dinafikan Socrates ialah antara pemimpin yang terunggul dalam sejarah dunia,” katanya kepada MalaysiaNow.
Menurut Chandra, ini bermaksud mereka yang jadi ahli falsafah tak perlu ada kelulusan ijazah atau kelayakan akademik.
Katanya ini kerana, ianya satu gelaran yang dianugerahkan oleh individu atau kumpulan tertentu ataupun gelaran yang dianugerahkan oleh generasi-generasi akan datang.
“Tak semestinya gelaran itu diberi sewaktu orang itu masih hidup dan melakukan proses pemikiran.
“Soal latar belakang itu tidak penting sebaliknya disumbangkan oleh masa.”
Sejak lebih sedekad lalu, tiada perkembangan baru dan perhatian serius kepada bidang falsafah di Malaysia dengan paling ketara tiada lagi tawaran pengajian falsafah dalam universiti-universiti awam.
Keadaan ini amat berbeza jika dibandingkan dengan situasi beberapa dekad lalu apabila ramai sasterawan dilahirkan melalui acuan falsafah daripada universiti awam.
Contohnya Shahnon Ahmad yang pernah menabur bakti sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, orang ramai masih menyebut nama-nama tokoh yang sama apabila bercerita tentang falsafah dan pemikir tempatan.
Antara nama yang seringkali diangkat ialah Syed Muhammad Naquib al-Attas, Usman Awang dan A Samad Said.
Mengulas lanjut, Chandra berkata falsafah boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk kegiatan yang memberi keutamaan kepada usaha pemikiran dan hasil daripada usaha pemikiran yang diharap dapat memanfaatkan masyarakat.
Beliau memberitahu, terdapat juga jenis-jenis pemikiran yang meroksakkan masyarakat namun tumpuan utama perlu diberikan untuk menggalakkan pemikiran yang memberi kebaikan kepada rakyat seluruhnya.
“Contohnya, dalam keadaan dewasa ini kita perlu pemikiran yang lebih mendalam mengenai pandemik.
“Macam mana ia berlaku, apakah sifatnya, punca dan kesannya. Pandemik yang berlaku itu, Covid-19 jelas menunjukkan bahawa umat manusia keseluruhannya tak bersedia.
“Yang kita lalui itu adalah sebagai reaksi tapi kita tidak fikir secara mendalam.”
Tembahanya, pandemik itu hanyalah satu contoh daripada ribuan topik yang lain.
Selain itu, katanya, perbincangan mendalam tentang rasuah juga boleh diberikan tumpuan kerana menjadi cabaran besar di Malaysia.
“Kita harus fikir secara mendalam, apakah itu rasuah, apakah kesan-kesan dari rasuah dan sebagainya.
“Kita juga perlu tahu bagaimana rasuah boleh berkembang dalam masyarakat di seluruh dunia walaupun ada pihak yang mahu menentang dan ikhlas banteras rasuah.
“Tapi ia masih subur, wujud dan berkembang, jadi apa sebabnya?”
