- Iklan -
Berita

MAHB tidak lantik syarikat kendali penumpang terima ‘Notis Penolakan Masuk’ di KLIA

Menurut MAHB syarikat mengendalikan penumpang NTL di KLIA dilantik oleh Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) KLIA

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang pegawai imigresen memeriksa pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Gambar fail seorang pegawai imigresen memeriksa pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Syarikat yang dilantik untuk mengendalikan penumpang diberi Notis Penolakan Masuk (NTL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan dilantik oleh Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB).

Menurut MAHB dalam kenyataan hari ini, syarikat mengendalikan penumpang NTL di KLIA dilantik oleh Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) KLIA, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 40 pengendali penerbangan dan 26 syarikat bersekutu.

Pelantikan itu dipersetujui dan disahkan oleh Jabatan Imigresen, kata MAHB bagi menjelaskan laporan sebuah portal berita.

“Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB menyediakan ruang yang sesuai untuk memudahkan pengendalian penumpang NTL sementara menunggu penerbangan pulang mereka,” katanya.

Satu laporan berita bertajuk "Chinese national involved in KLIA has returned, says Azam" diterbitkan semalam melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata dua wanita warga China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan KLIA minggu lepas  sudah pulang ke negara asal. 

Azam dipetik sebagai berkata seorang ejen yang didakwa meminta bayaran untuk membantu seorang daripada wanita itu selepas dia didakwa dilarang masuk ke Malaysia, dikaitkan dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di KLIA.

Beliau juga berkata syarikat itu telah diberi kontrak oleh MAHB untuk menguruskan pelancong yang menerima notis NTL Jabatan Imigresen sejak 2017.

Menurut MAHB, pengendalian penumpang NTL atas pelbagai sebab termasuk kesahihan pasport, isu visa, sejarah jenayah dan kebimbangan keselamatan, terletak di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan masing-masing dan Jabatan Imigresen seperti yang dinyatakan di bawah Lampiran 9 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Akta Imigresen Malaysia (Akta 155).