- Iklan -
Berita

Keputusan kekal OPR 3% dibuat bebas tanpa tekanan mana-mana pihak, kata Fahmi

Beliau berkata ia adalah berdasarkan kepada faktor pertumbuhan ekonomi negara yang baik ketika ini selain kadar inflasi yang menunjukkan trend penurunan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3% seperti yang diumumkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) semalam dibuat dengan bebas tanpa tekanan daripada kerajaan atau mana-mana pihak.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata malah ia adalah berdasarkan kepada faktor pertumbuhan ekonomi negara yang baik ketika ini selain kadar inflasi yang menunjukkan trend penurunan dan jumlah guna tenaga dalam pasaran kerja yang hampir penuh.

“Selain itu, negara juga dalam keadaan berdaya saing tinggi iaitu yang kedua terbaik selepas Singapura di rantau Asia Tenggara. Jadi, bila kita teliti kenyataan BNM, itu antara faktor yang membuatkan Jawatankuasa Dasar Monetari mengekalkan OPR,” katanya.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian kepada pemberita selepas  merasmikan  program Kita MADANI peringkat Negeri Sembilan di Seremban semalam.

MPC Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan mengekalkan OPR pada 3% iaitu selaras dengan perkembangan ekonomi global serta kadar inflasi di Malaysia yang menunjukkan trend penurunan dan kekal stabil. 

Kementerian Kewangan (MOF) pula menjelaskan meskipun tinjauan ekonomi global dipengaruhi risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan namun, kerajaan yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang tahun ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) supaya lebih proaktif mengadakan libat urus dengan orang ramai untuk menjelaskan kesan sebarang keputusan membabitkan OPR.

“Saya telah meminta agar ABM dan AIBIM untuk memberikan penjelasan sewajarnya sekiranya rakyat menghadapi masalah contohnya akibat daripada peningkatan OPR...kita baru keluar daripada pandemik Covid-19, dan saya percaya pihak bank faham.

...dalam tempoh moratorium sebelum ini dan selepas itu pasca pandemik, memang masih ramai yang terkesan dari segi ekonomi dan sudah pasti pihak bank bersedia membantu...kita juga alu-alukan usaha proaktif bank membantu rakyat,” katanya.