- Iklan -
Berita

Tinjauan dapati PN mampu tawan Selangor dengan 39 kerusi DUN

Penganalisis menyebut ini disebabkan kebolehpindahan pengundi rendah antara dua gabungan PH-BN yang berkerjasama pada PRN akan datang.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Perikatan Nasional memegang sepanduk semasa Ceramah Perdana Perikatan Nasional Jelajah Selangor Baru di Shah Alam, 24 Jun.
Penyokong Perikatan Nasional memegang sepanduk semasa Ceramah Perdana Perikatan Nasional Jelajah Selangor Baru di Shah Alam, 24 Jun.

Tinjauan terbaru kebimbangan terbesar kepada Umno menjelang enam pilihan raya negeri bulan depan, bahawa pengundi Melayu di Selangor yang menyokong parti itu pada pilihan raya lepas lebih cenderung mengundi calon Perikatan Nasional (PN).

Dalam laporan tinjauan terbaru yang diterbitkan oleh ISEAS Perspective, jurnal dari Institut Kajian Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura, seorang penganalisis politik dan ketua badan pemikir juga mendapati 39% pengundi Melayu yang mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas berkata mereka akan mengundi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Sementara itu, hanya 15% berkata mereka akan mengundi Pakatan Harapan (PH), yang menandatangani perjanjian dengan sekutunya di peringkat Persekutuan, BN untuk mengelakkan pertembungan pada pilihan raya.

“Ini bermakna tidak ada perpindahan undi yang ketara antara pengundi Melayu PH dan BN di Selangor walaupun hakikatnya kedua-dua gabungan itu adalah rakan kongsi dalam kerajaan campuran di peringkat Persekutuan,” tulis Marzuki Mohamad, seorang penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa dan Khairul Syakirin Zulkifli, penyelidik sosio ekonomi di badan pemikir Institut Masa Depan Malaysia. 

Kebolehpindahan undi dilihat sebagai kunci untuk memastikan kejayaan pakatan PH-BN, di mana penyokong setiap gabungan mesti membalasnya untuk menafikan kemenangan kepada PN.

"Jika terdapat ‘full vote transferability’, kedua-dua parti akan menikmati keuntungan besar dalam pilihan raya. Tetapi jika tiada pemindahan undi, tidak banyak yang diperoleh parti daripada kerjasama itu," tambah mereka. 

Tinjauan itu melibatkan 1,200 pengundi dalam temu bual bersemuka yang dijalankan antara 1 Mac dan 20 April tahun ini. 

Orang Melayu membentuk kira-kira 54% daripada penduduk Selangor, diikuti Cina (32%), India (13%) dan kaum lain 1%. 

Komposisi etnik bagi kajian itu ialah 69% Melayu, 18% Cina dan 12% India, mencerminkan demografi pengundi di 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu yang menjadi tumpuan tinjauan.  

Sebanyak 24% daripada sampel adalah dari kawasan luar bandar Selangor, 35% bandar dan 41% separa bandar. 

Kumpulan umur mereka juga mencerminkan konfigurasi pengundi semasa, dengan 46% daripada mereka berumur antara 21-35 tahun. 

Maksud 'tidak pasti' dalam tinjauan pilihan raya   

Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia, dan oleh kerana itu ia dilihat sebagai pusat pilihan raya, yang akan menyaksikan pengundi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos ini bagi memilih kerajaan negeri.  

Dengan 56 kerusi untuk direbut, sebuah parti mesti menang sekurang-kurangnya 29 kerusi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

Marzuki dan Khairul berkata meskipun negeri itu mungkin mengalami "angin perubahan" selepas satu setengah dekad di bawah PH, ia masih bergantung kepada kekuatan PN untuk menukar keadaan bagi manfaat mereka. 

Mereka berkata fakta bahawa sebahagian besar responden yang "tidak pasti" atau tidak menunjukkan siapa yang akan mereka undi – kira-kira 46% – tidak mengejutkan dalam trend pilihan raya Malaysia.

“Adalah satu peraturan tidak bertulis bagi pemilih Malaysia untuk memperuntukkan kepada parti pembangkang peratusan yang lebih besar daripada mereka dalam kategori ‘pengundi tidak pasti’ atas beberapa sebab.

“Pertama, pengundi ini mungkin sudah membuat keputusan mengenai parti pilihan mereka tetapi enggan mendedahkannya kerana takut akan kesannya, terutamanya jika mereka menyokong parti politik pembangkang. 

"Kedua, kerana pengundi ini mengundi BN pada PRU15 lalu, menjadi 'tidak pasti' kali ini menunjukkan peralihan sokongan daripada parti atau sekutunya," tambah mereka. 

Sementara itu, tinjauan itu mendapati pengerusi PN dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin masih menjadi pemimpin negara paling digemari dengan sokongan 60%, diikuti Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebanyak 43%. 

Jika terdapat sebarang indikasi masalah yang bakal dihadapi Umno dalam pilihan raya akan datang, ia adalah penilaian rendah terhadap presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi sebanyak 17%. 

Sementara itu, kira-kira 48% responden "berpuas hati" dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, manakala 37% "tidak berpuas hati" dan 15% "tidak pasti".

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan penyokong Umno menyokong PH, Marzuki dan Khairul memetik tinjauan dibuat Merdeka Center sebelum pilihan raya umum tahun lalu, yang mendapati hanya 32% pengundi Melayu bersetuju dengan senario di mana BN dan PH berkerjasama untuk membentuk kerajaan. 

“Penolakan pengundi Melayu terhadap gabungan sebegini nampaknya konsisten dengan dapatan tinjauan sebelum PRN kami di Selangor, yang menunjukkan kebanyakan pengundi Melayu BN gigih dalam pilihan politik mereka dengan menunjukkan bahawa mereka tidak akan memindahkan undi kepada PH. 

"Walaupun elit politik PH dan BN yang berpeluang mendapat keuntungan daripada gabungan itu yang nampaknya selesa dengan percaturan tersebut, namun rungutan dalam kalangan penyokong parti sudah dikesan lama sebelum kedua-dua bekas seteru politik itu memeterai kerjasama selepas pilihan raya," kata mereka, sambil menambah kejayaan PN yang menewaskan PH di Padang Serai, Kedah, hanya beberapa hari selepas PRU15 mengesahkan sentimen pengundi.