- Iklan -
Berita

SPR umum 12 Ogos hari mengundi PRN di 6 negeri

Penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengundi menjalankan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.
Pengundi menjalankan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Sementara itu hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.

Enam negeri yang terlibat adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam sidang media khas di Putrajaya, berkata PRN kali ini melibatkan kira-kira lebih 9.7 juta pengundi yang layak menjalankan tanggungjawab masing-masing pada tarikh berkenaan.

"Sehubungan itu SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi dewan berikut, 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan," katanya di Menara SPR, hari ini.

Awal hari ini, beliau hadir ke ibu pejabat SPR bagi mempengerusikan mesyuarat khas untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRN selepas suruhanjaya itu menerima notis pembubaran rasmi DUN bagi keenam-enam negeri tersebut daripada Speaker DUN masing-masing.

Terdahulu, Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun bagi memberi laluan kepada PRN. Ini diikuti Selangor pada 23 Jun.

Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing membubarkan DUN pada 28 Jun manakala Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Sebanyak 245 kerusi DUN melibatkan enam negeri akan dipertandingkan pada PRN kali ini.