- Iklan -
Berita

Peningkatan pelancong dapat kukuhkan nilai ringgit, kata timbalan menteri

Ahmad Maslan menyuarakan harapan bahawa pelancong dari China akan membuat keputusan untuk datang ke Malaysia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan (dua kiri) di kawasan pemunggahan bagasi semasa lawatan kerja ke jeti penumpang Port Dickson, 4 Julai. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan (dua kiri) di kawasan pemunggahan bagasi semasa lawatan kerja ke jeti penumpang Port Dickson, 4 Julai. Gambar: Bernama

Peningkatan kemasukan pelancong luar ke negara ini diyakini dapat mengukuhkan nilai mata wang ringgit yang kini agak rendah, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

Beliau berkata ketika ini lebih 200 juta pelancong dari China sedang merangka perjalanan mereka ke pelbagai negara dan berharap memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

"Kita inginkan pelancong yang ramai kerana ia memberi pendapatan kepada negara termasuk rakyat yang terlibat dalam sektor pelancongan, hotel, makanan dan minuman.

"Pada masa sama permintaan terhadap ringgit akan menjadi lebih tinggi apabila pelancong ramai datang dan ia dapat memperbaiki prestasi ringgit," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Jeti Penumpang Port Dickson di Port Dickson semalam.

Justeru, katanya agensi seperti kastam perlu turut memainkan peranan dalam merancakkan lagi sektor ekonomi pelancongan di negara ini. 

"Hal lambat di lapangan terbang dan di jeti ini perkara yang berulang. Saya kira pada saat kita memerlukan pelancong yang ramai datang ke negara ini, antara agensi yang memainkan peranan penting ialah Kastam iaitu bagi menguruskan ketibaan pelancong dari luar.

"Namun, saya lihat ada penambahbaikan dilakukan, contohnya di jeti ini, Kastam menggunakan pendekatan mengumpul barangan untuk disaring di mesin pengimbas sementara penumpang lain berbaris menunggu giliran di kaunter, ia satu kaedah boleh percepatkan proses barisan," katanya.

Sementara itu,  Ahmad berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri merekodkan kutipan rampasan serta tangkapan lebih RM800,000 bagi tempoh enam bulan tahun ini.

Menurutnya daripada jumlah itu, cukai yang sepatutnya dikutip ialah RM1.04 juta yang melibatkan barangan seperti rokok, minuman keras dan kenderaan.