- Iklan -
Berita

Kementerian diterajui Rafizi tiada taring, kuasa sebenar, kata Azmin

Bekas menteri hal ehwal ekonomi itu berkata ia hanya menumpukan kepada isu dasar, dengan agensi dan jabatan yang sebelum ini di bawah seliaannya dikeluarkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri hal ehwal ekonomi Mohamed Azmin Ali bercakap dalam wawancara bersama MalaysiaNow di Bangsar.
Bekas menteri hal ehwal ekonomi Mohamed Azmin Ali bercakap dalam wawancara bersama MalaysiaNow di Bangsar.

Kementerian Ekonomi di bawah Rafizi Ramli tidak mempunyai kuasa dan portfolio yang besar, sekali gus menjadikannya seakan tanpa taring, kata Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang pernah memegang jawatan itu berkata, ketika ini kementerian tersebut hanya tertumpu pada isu-isu dasar, manakala agensi dan jabatan yang dahulunya diletakkan di bawah pengawasannya dikeluarkan.

"Mungkin Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mahu memberi kuasa kepada Rafizi,” kata Azmin dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow.

"Kementerian Ekonomi sudah balik kepada keadaan asal iaitu hanya bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM), meneliti angka dan data tetapi tidak terlibat secara terus untuk melihat diversifikasi ekonomi.”

Anwar dan Rafizi dilihat bertembung dalam pemilihan PKR yang lalu apabila perdana menteri menyokong Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan timbalan presiden.

Rafizi berjaya menewaskan Saifuddin dan kebanyakan orang-orangnya menguasai Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Kementerian itu pertama kali diwujudkan dengan nama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Azmin dilantik untuk mengetuainya dalam Kabinet yang dipimpin bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Di bawah pimpinan Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor, agensi penting seperti Felda, Risda dan Felcra diletakkan di bawah pengawasan beliau.

Beliau turut menyediakan hujah dan jawapan di Parlimen untuk entiti seperti Khazanah dan Petronas yang secara umumnya diletakkan di bawah kuasa perdana menteri.

Selain itu, Halal Development Corporation (HDC) juga dipantau oleh kementeriannya, bagi membantu perkembangan industri halal yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).

"Industri halal cukup besar dengan nilai trilion dolar Amerika. Ia membabitkan bahan mentah, kewangan dan bekalan sehinggalah produk akhir. Oleh kerana rantaiannya luas, kita membawa HDC untuk diletakkan di bawah kementerian.

"Inilah kebijaksanaan Dr Mahathir yang melihat ekonomi dalam konteks yang lebih besar."

Azmin turut membentangkan Kertas Putih Felda di Parlimen semasa mengetuai kementerian itu.

Rafizi dilantik menjadi menteri ekonomi selepas pembentukan kerajaan campuran pada November. 

Carian dalam laman sesawang kementerian itu menunjukkan ia mempunyai satu jabatan, iaitu DOSM dan lima koridor ekonomi.

Tujuh syarikat berkaitan kerajaan dan kesemua syarikat perbadanan ekonomi negeri turut diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan tiga cabang iaitu Intan, Ikhsan dan Ihsan.

Di bawah Insan, beliau memperkenalkan mesin layan diri atau “vending machine” untuk peniaga kecil meletakkan produk mereka.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan program itu berdepan masalah teknikal tidak lama selepas diperkenalkan.

Malah, kaedah bantuan tuaian cili turut dipertikai oleh penjual nasi lemak.

Beliau juga mengulas beberapa isu seperti harga makanan dan kos sara hidup, meskipun kedua-dua topik itu diletakkan di bawah kementerian yang berbeza.

Terbaru Rafizi mengumumkan kementerian itu membuka permohonan peruntukan projek-projek kecil secara terus.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 di bawah Mahathir, Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ketika itu menjadi lebih berkuasa berbanding Kementerian Kewangan di bawah Lim Guan Eng.

Bahkan beliau menggelar Lim sebagai “book keeper” kerana tidak memegang kuasa sebenar.

Menurut Azmin, kementeriannya tidak berkuasa dalam konteks kedudukan, tetapi mengikut portfolio yang diserahkan kepada kementerian tersebut.

Ia berbeza dengan bidang kuasa yang diberikan kepada kementerian di bawah pentadbiran Anwar.

"Kementerian Ekonomi sekarang kurang taring, kepimpinan juga kurang taring. Tiada apa yang bergerak. Yang ada ialah formula, tetapi rakyat dalam keadaan krisis tidak memerlukan formula.

"Rakyat inginkan perlaksanaan dan penyelesaian terhadap isu-isu ekonomi yang berbangkit," katanya. 

Sebelum 2018, hal ehwal ekonomi diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri tanpa kementerian khusus.

Menurut Azmin, keputusan untuk mewujudkan kementerian khusus untuk memantau perihal ekonomi ialah kerana kepelbagaian ekonomi negara yang tidak hanya tertumpu soal perdagangan dan pelaburan. 

Kementerian itu dimasukkan semula ke dalam Jabatan Perdana Menteri semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin yang melantik Mustapa Mohamed sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio berkenaan.

Manakala Azmin mengambil alih Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.