- Iklan -
Berita

Setiausaha politik PM doakan kesejahteraan Hadi selepas ciapan kontroversi orang kuat PKR

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan laporan awal MalaysiaNow yang merujuk Zaki sebagai pembantunya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Shamsul Iskandar Mohd Akin. Gambar: Bernama
Shamsul Iskandar Mohd Akin. Gambar: Bernama

Setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menghubungi keluarga Abdul Hadi Awang untuk bertanyakan mengenai kesihatannya, berikutan kemarahan orang ramai terhadap kenyataan seorang penyokong PKR yang mengharapkan kematian presiden PAS itu. 

Shamsul Iskandar Mohd Akin turut menyampaikan ucapan selamat sejahtera kepada Hadi bagi pihak perdana menteri dan pejabatnya.

"Syukur Alhamdulillah, komunikasi terjalin baik di samping kami turut diberi perkembangan terkini tentang kesihatan Tan Sri (Hadi)," katanya.

Hadi dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Ia berlaku selepas Anwar menyelar orang kuat PKR Ahmad Zaki Yamani berhubung kiriman di Twitter yang mendoakan kematian Hadi dan Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata beliau juga sudah mengarahkan Zaki supaya segera memadam ciapan itu, yang hanya dilakukannya lebih 24 jam kemudian. 

Dalam pada itu, Shamsul menafikan laporan awal MalaysiaNow yang merujuk Zaki sebagai pembantunya, mengatakan mereka tidak mempunyai kaitan dalam sebarang kapasiti rasmi.

"Oleh itu dakwaan mengenai perkaitan itu adalah sangat tidak wajar untuk dipolemikkan tanpa asas yang jelas," katanya, sambil menggesa MalaysiaNow menarik balik laporan itu.

Dalam laporan yang sama, MalaysiaNow sudah menyiarkan penafian Zaki bahawa beliau adalah pembantu kepada Shamsul.

MalaysiaNow juga sudah meminda tajuk utama yang menunjukkan bahawa Zaki adalah pembantu kepada Shamsul.