- Iklan -
Berita

Orang kuat PKR doakan kematian Hadi, Dr Mahathir

Ahmad Zaki Yamani juga tidak merasa bersalah apabila diberitahu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Zaki Yamani bersama kiriman Twitter mendoakan kematian Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir Mohamad.
Zaki Yamani bersama kiriman Twitter mendoakan kematian Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir Mohamad.

Pembantu kepada setiausaha politik Anwar Ibrahim memuat naik doa mengharapkan kematian Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir Mohamad, satu petanda Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bakal menyaksikan ahli politik beralih kepada serangan peribadi yang lebih teruk.

Ahmad Zaki Yamani yang merupakan seorang pembantu kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin, memuat naik doa sebagai respons kepada laporan media berhubung keadaan kesihatan Hadi.

“Ya Allah! Ambil lah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukan nya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu. P/S: Ambil sekali Mahathir,” tulis Zaki yang pernah menjadi exco Pemuda PKR ketika Shamsul memimpin sayap itu.

[Note editor: Zaki mengutuk laporan MalaysiaNow yang menurutnya sering menyebarkan fitnah. 

"Saya bukan aide kepada mana-mana setiausaha politik PM," katanya.]

Zaki juga dilihat mempertahankan kenyataannya apabila beberapa pengguna mempersoalkan kirimannya, sebaliknya menyuruh mereka memberikan dalil yang melarang seseorang daripada mendoakan kematian orang lain.

Apabila diberitahu bahawa tiada apa-apa dalil untuk membenarkan kelakuannya, Zaki berkata kematian Hadi akan "menghentikan hujah-hujah politik beliau yang memecah belah umat".

"Apakah berterusan hidup Abdul Hadi Awang akan membawa manfaat kepada umat?" soal Zaki.

Hadi, 75, dimasukkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya merosot minggu lepas.

"Kesihatan Ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital," menurut anaknya Muhammad Khalil dalam satu kiriman Facebook hari ini.

Pada 2017, pemimpin PAS yang juga ahli Parlimen Marang itu menjalani pembedahan penggantian injap jantung di Institut Jantung Negara.