- Iklan -
Berita

Kaum India jadi penentu ketika jurang undi Melayu-Cina melebar, kata pemerhati

Penganalisis berkata parti Melayu memerlukan pendekatan berbeza terhadap pengundi di Selangor.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Orang India menghadiri acara anjuran Perikatan Nasional menjelang pilihan raya yang akan diadakan di enam negeri. Gambar: Facebook
Orang India menghadiri acara anjuran Perikatan Nasional menjelang pilihan raya yang akan diadakan di enam negeri. Gambar: Facebook

Parti-parti dan gabungan politik digesa memberikan perhatian dan tumpuan terhadap peralihan undi kaum India di Selangor, menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang semakin hampir, kata pemerhati.

Penganalisis politik R Paneir Selvam berkata meskipun undi Melayu akan ditandingi hebat oleh Umno, PAS dan Bersatu, sementara undi Cina kebanyakannya disalurkan kepada Pakatan Harapan (PH) secara en-bloc, undi India pula dilihat boleh berubah sekali gus memainkan peranan untuk menentukan pemenang dalam PRN.

“Parti-parti Melayu perlu fokus kepada isu kaum India seperti pengangguran, penglibatan belia dalam jenayah dan pekerjaan kerajaan.

"Isu perkauman hanya akan melemahkan semangat mereka. Kami mahukan pemimpin untuk semua," kata Paneir, dari Arunachala Research and Consultancy. 

Secara tradisinya, kaum India pernah menjadi bank undi kepada Barisan Nasional (BN), dengan MIC bertanggungjawab menegakkan hak dan isu kaum India.

Bagaimanapun, menurut Paneir, MIC kini beransur-ansur kehilangan undi kaum India bermula dari 2008, dan sedang bergelut untuk memenangi semula kepercayaan etnik itu.

Katanya, kesetiaan pengundi India disalahgunakan menyebabkan mereka beralih sokongan pembangkang ketika itu.

Tambahnya, MIC gagal mengiktiraf perubahan pemikiran, keperluan, kehendak dan landskap politik yang melibatkan kaum itu.

“Mereka mengupas isu yang sama seperti sekolah Tamil dan kuil.

"Walaupun mereka yang berpendidikan itu dilihat maju dan berpengetahuan, mereka orang India kebanyakan adalah mereka yang sederhana.

“Mereka ini hanya mahu bertahan," katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam melabel MCA dan MIC sebagai “biawak hidup” kerana tidak lagi mampu menyumbang kemenangan kepada BN.

Memandangkan Selangor adalah negeri paling maju di negara ini, Peneir menegaskan rakyatnya lebih peka apabila diberitahu tentang sesuatu perkara.

Katanya, meskipun beberapa isu dibawa dan disebut di kawasan luar bandar seperti di Kelantan dan Terengganu, beliau memberi amaran Selangor adalah medan pertempuran yang berbeza dan parti Melayu perlu menggunakan pendekatan tersendiri di negeri itu.

Paneir menambah bahawa isu-isu sensitif tidak lagi boleh menarik orang India, tidak seperti suasana pada zaman dahulu sehingga era 1990-an.

Selangor akan menyertai lima negeri semenanjung yang lain dalam PRN akan datang  selepas enggan membubarkan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selangor membubarkan DUN pada 23 Jun lalu, dua hari sebelum genap tempoh penggalnya selama lima tahun.

Hari yang sama, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyatakan keyakinan untuk menyapu bersih semua 56 kerusi DUN bagi PH dan BN.

Mengulas lanjut, Paneir memberitahu fakta hanya terdapat tiga wakil rakyat India di Selangor tidak mencerminkan masyarakat itu.

Sehingga kini, etnik India di Selangor dianggarkan mewakili lebih 40% atau dua per lima daripada keseluruhan populasi kaum India di Malaysia.

"Mereka perlu melihat peratusan penduduk India, dan itu perlu diwakili dalam pilihan raya."

Pada masa ini, ketiga-tiga wakil rakyat India tersebut diwakili oleh Adun PH.

Mereka ialah R Rajiv (Bukit Gasing), G Gunaraj (Sentosa), dan V Ganabatirau (Kota Kemuning). 

Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia Anis Anwar Suhaimi berkata terdapat lima kerusi DUN yang dikenal pasti menjadi kerusi campuran dan sokongan etnik itu menjadikannya begitu bernilai dalam menentukan keboleh menangan parti-parti di saat jurang politik Melayu dan Cina semakin menajam.

Lima DUN tersebut adalah Kuala Kubu Baru, Bukit Antarabangsa, Kajang, Sentosa dan Kota Kemuning.

Menurut Anis, sekiranya kerusi majoriti Melayu kelas pekerja seperti di DUN Seri Setia dan Sungai Pelek menyaksikan undi Melayu berpecah, maka undi kaum India mempunyai peranan signifikan dalam menentukan kelangsungan parti yang kini sedang disandang oleh PH.

“Dengan gelombang hijau yang turut melanda PRU15 bagi kawasan Parlimen di Selangor hinggakan mampu mencabar keharmonian PH di Selangor, politik kaum India mampu menjadi ‘king maker’ dalam mempengaruhi keputusan PRN khususnya di Selangor,” katanya, menggunakan frasa kontroversi untuk menggambarkan kemenangan PN dalam PRU15 tahun lepas.

Buat masa ini, kata Anis, meskipun sebahagian besar masyarakat India mengikuti corak politik kaum Cina yang berpihak kepada PH tetapi trend pengundian mereka dilihat agak berpecah-pecah kerana bergantung kepada kelas ekonomi dan kedudukan geografi.

“Pun begitu, dengan kerjasama PH-BN dalam PRN ini undi India akan berpihak kepada mereka.”