- Iklan -
Berita

Bekas setiausaha politik Wan Azizah pula dilantik ketuai syarikat Kementerian Kewangan

Romli Ishak berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Romli Ishak (kiri), bekas setiausaha politik Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan), adalah yang terbaru dalam siri lantikan politik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan.
Romli Ishak (kiri), bekas setiausaha politik Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan), adalah yang terbaru dalam siri lantikan politik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan.

Bekas setiausaha politik kepada isteri Anwar Ibrahim dilantik sebagai pengerusi Cyberview Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang juga diketuai oleh perdana menteri, dalam satu lagi lantikan politik.

Romli Ishak sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menjadi timbalan perdana menteri sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau kemudiannya menjadi setiausaha politik kepada menteri besar Negeri Sembilan selepas kerajaan PH tumbang.

Cyberview ditugaskan untuk membangunkan Cyberjaya, bandar yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Mahathir untuk menarik syarikat teknologi pada akhir 1990-an. 

Pelantikan Romli, yang merupakan sebahagian daripada Majlis Pimpinan Pusat PKR, diumumkan pada hari yang sama Anwar melantik bapa kepada salah seorang setiausaha politiknya untuk mengetuai MyHSR Corporation Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat milik Kementerian Kewangan.

Bekas ahli Parlimen PKR, Fauzi Abdul Rahman, adalah bapa kepada Farhan Fauzi – setiausaha politik Anwar di Pejabat Perdana Menteri.

"Dengan lebih tujuh tahun pengalaman dalam tadbir urus korporat dan 15 tahun sebagai usahawan teknologi, semangat Dato' Romli untuk keusahawanan dan pembangunan bakat telah menjadikannya mentor dan penasihat yang dicari-cari dalam industri teknologi dan inovasi," menurut Cyberview dalam satu kenyataan sewaktu mengalu-alukan pelantikan Romli semalam.