- Iklan -
Berita

PH gesa polis siasat pemimpin PAS berhubung ucapan pertahankan kerajaan Kedah

Syeikh Zainul Asri Mohd Romli dalam ucapannya berkata ‘Semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah’.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Biro Penggerak Media Pakatan Harapan Muhammad Yahaya semasa taklimat media selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini, 26 Jun 2023. Gambar: Bernama
Ketua Biro Penggerak Media Pakatan Harapan Muhammad Yahaya semasa taklimat media selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini, 26 Jun 2023. Gambar: Bernama

Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap bekas Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Syeikh Zainul Asri Mohd Romli berikutan ucapannya semasa Himpunan Kedah Berselawat Sabtu lepas.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Ketua Biro Mobilisasi Pusat Media PH Kapten (B) Muhammad Yahaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pagi tadi.

Menurut Muhammad laporan berkenaan dibuat susulan ucapan Syeikh Zainul Asri yang menyebut semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah.

Katanya ungkapan berbaur propaganda berkenaan seolah-olah menggambarkan hanya PAS dan Perikatan Nasional sahaja bersama Allah manakala parti yang lain adalah musuh Allah.

Menurutnya ungkapan berkenaan yang dibuat ketika negeri berkenaan sedang bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya negeri dilihat amat tidak sihat dan boleh menyemai perasaan benci dan ekstremisme kepada rakyat. 

"Kami berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera terhadap individu berkenaan selain mengharamkan penggunaan istilah agama dalam kempen pilihan raya negeri yang akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Muhammad berkata penggunaan istilah agama perlu dihentikan ketika berpolitik kerana ditakuti akan disalah erti dan membawa kepada keganasan dan ekstremis agama.

"Penggunaan istilah agama seperti ini perlu dielakkan dalam pilihan raya negeri akan datang bagi menjaga keharmonian negara," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi