- Iklan -
Berita

‘Gelombang Hijau’ perangkap Kit Siang takutkan pengundi bukan Melayu, kata Azmin

Pengerusi PN Selangor itu berkata persepsi itu cuba dihasilkan Lim Kit Siang selepas mendapati sokongan bukan Melayu terhadap PN semakin meningkat.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Lim Kit Siang ingin memberi gambaran bahawa akan berlaku gelombang kebangkitan PAS yang dituduh sebagai satu kumpulan berfikiran radikal, kata Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Lim Kit Siang ingin memberi gambaran bahawa akan berlaku gelombang kebangkitan PAS yang dituduh sebagai satu kumpulan berfikiran radikal, kata Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Istilah "Gelombang Hijau" merupakan taktik dan perangkap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang untuk mencipta persepsi negatif terhadap PAS, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, permainan politik itu kononnya untuk memberi gambaran bahawa akan berlaku gelombang kebangkitan PAS yang dituduh sebagai satu kumpulan berfikiran radikal.

"Kita tahu taktik dan perangkap Lim Kit Siang untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan menguar-uarkan gelombang hijau seolah-olah akan berlaku satu gelombang kebangkitan PAS yang dituduh sebagai satu kumpulan radikal," katanya pada sidang media sempena Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di IDCC, Shah Alam.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa berkata, persepsi yang cuba dihasilkan Lim itu selepas mendapati sokongan bukan Melayu terhadap PN meningkat.

Katanya, kehadiran bukan Melayu pada konvensyen yang diadakan hari ini serta majlis yang diadakan di Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini jelas menunjukkan sokongan terhadap PN semakin kukuh.

Beliau berkata, ditambah dengan sokongan Melayu yang semakin kuat sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lalu memberikan petanda positif bahawa PN mempunyai peluang cerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

"Ini membuktikan mereka meletakkan keyakinan PN mampu bawa perubahan dalam PRN akan datang," tambah Azmin.

Dalam pada itu, Azmin turut mendedahkan PN juga bakal akan meletakkan beberapa muka baru di Selangor yang terdiri daripada golongan muda berlatarbelakangkan profesional.

"Itu yang dikehendaki rakyat, maka kita tunaikan.

"Selain itu, PN juga akan meletakkan calon dalam kalangan kaum India dan Cina," katanya.