- Iklan -
Berita

Motac seru pemain industri pelancongan yakin dengan mata wang ringgit

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata tiada jaminan bahawa kekuatan dolar AS akan berterusan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gelagat seorang pelancong dari Jepun ketika berkunjung di Batu Caves sempena sambutan Hari Thaipusam.
Gelagat seorang pelancong dari Jepun ketika berkunjung di Batu Caves sempena sambutan Hari Thaipusam.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyeru agar semua pemain industri pelancongan untuk terus yakin menggunakan mata wang Malaysia bagi caj bilik penginapan dan perkhidmatan kepada pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata sekiranya mereka menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (dolar AS), ia tidak memberi jaminan dapat terus kukuh dalam memberi manfaat kepada industri berkenaan.

"Saya berpandangan kita mesti mempunyai keyakinan dengan negara kita sendiri dan mesti ingat sekarang AS Dolar kukuh tapi belum tahu selama mana nilai mata wang ini akan kekal, mana tahu suatu hari nanti semua orang tidak mahu lagi menggunakan mata wang ini... apa yang akan berlaku?.

"Hal ini kerana kita tahu di beberapa negara, dolar AS tidak berapa kukuh kerana terdapat beberapa bank telah ‘gulung tikar’. Kita memahami keadaan ini (nilai ringgit menurun berbanding dolar AS) dan sebab itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang sedaya upaya melihat bagaimana cara untuk menyelesaikan isu ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (Mybha) di Subang Jaya, semalam.

Beliau berkata demikian susulan hasrat Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho) yang mahu mengenakan caj bilik dalam mata wang AS Dolar. 

Beliau berkata oleh itu pihaknya memohon kerjasama daripada rakyat untuk bersama-sama kerajaan mempromosikan Malaysia dalam meyakinkan para pelabur untuk datang dan melabur di negara ini.

Pada 20 Jun lepas, Presiden Maho Teo Chiang Hong menggesa hotel-hotel meningkatkan kadar bilik dalam usaha meningkatkan hasil, dan mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran dalam dolar AS kepada pelancong bagi mengurangkan kos yang lebih tinggi daripada kenaikan gaji minimum, bayaran lebih masa dan caj elektrik.

Dalam pada itu, Tiong turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Mybha bagi membantu ahli persatuan itu untuk memperbaiki perkhidmatan mereka dengan mengadakan kursus atau dialog berkaitan industri.

Sementara itu, Tiong turut memaklumkan pihaknya akan meneliti semula syarat-syarat permohonan inisiatif program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan mencadangkan supaya mewujudkan tiga kategori permohonan bagi program tersebut.

"Kita akan meneliti semua perkara ini secara menyeluruh dan akan memastikan inisiatif itu fleksibel dan memberi berpeluang kepada mereka yang layak.

"Dengan mencadangkan tiga kategori iaitu platinum, emas dan biasa dengan setiap kategori itu mempunyai syarat permohonan yang berbeza-beza,” katanya.