- Iklan -
Berita

83,000 pengguna bakal berdepan kenaikan bil elektrik bulanan pada kadar minimum RM187

Ia bermakna kerajaan akan mendapat kutipan tambahan sekurang-kurangnya RM15 juta berbanding kadar pelarasan sebelum ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) pada sidang media di Putrajaya. Gambar: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) pada sidang media di Putrajaya. Gambar: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

Seramai 83,000 pengguna elektrik akan mengalami kenaikan bil bulanan dengan kadar minimum RM187 atau 25%, susulan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh Julai hingga Disember.

Ia bermakna kerajaan akan mendapat kutipan tambahan sekurang-kurangnya RM15 juta berbanding kadar pelarasan sebelum ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia selaras dengan pelaksanaan subsidi bersasar bermula bulan depan, yang mana penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj, atau bil minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

"Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

"Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing," katanya pada sidang media hari ini.

Pelarasan ICPT itu juga menyaksikan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik kurang daripada 1,500 kWj, yang membentuk 99% pengguna di semenanjung, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

Selain itu, pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah dan tarif pertanian spesifik juga tidak akan mengalami kenaikan bil.

Bagi kategori ini, surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen per kWj dikekalkan.

Katanya, penurunan harga bahan api daripada AS$224 per metrik tan untuk tempoh Julai hingga Disember 2022 kepada  AS$173.50 per metrik tan untuk Januari hingga Jun tahun ini membolehkan kerajaan untuk terus memberikan subsidi elektrik.

"Namun purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh RP3 iaitu AS$79 per metrik tan," katanya.

Bagi tempoh Julai hingga Disember, Nik Nazmi yang juga ahli Parlimen Setiawangsa memberitahu, kerajaan bersetuju menampung kos subsidi elektrik RM5.2 bilion.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan lagi menampung subsidi elektrik dan ibadah haji bagi golongan maha kaya dalam usaha kerajaan menstrukturkan semula pemberian subsidi.

Nik Nazmi berkata, buat masa ini pemberian subsidi elektrik dibuat berdasarkan jumlah penggunaan dan bukan kadar pendapatan yang akan dilakukan pada masa depan.

"Kita menggalakkan perubahan ke arah penjimatan tenaga dan penggunaan yang lebih efisien.

“Kita telah menyaksikan perbezaan voltan untuk kategori medium dan tinggi, serta penurunan permintaan tenaga oleh pihak komersial dan industri selepas keputusan kita pada kitaran terakhir," katanya.