- Iklan -
Berita

Gerakan mohon maaf atas kenyataan jurucakap berkenaan penjawat awam 'membebankan'

Setiausaha Agung Gerakan Mak Kah Keong berkata pihaknya telah menyerahkan kes berkenaan kepada Lembaga Disiplin parti, untuk tindakan selanjutnya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam ketika berehat untuk makan tengah hari di Presint 4, Putrajaya pada 24 November 2022. Gambar: Bernama
Penjawat awam ketika berehat untuk makan tengah hari di Presint 4, Putrajaya pada 24 November 2022. Gambar: Bernama

Parti Gerakan hari ini memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Gerakan Pulau Pinang Mok Kok On, berkenaan penjawat awam baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Agung Gerakan Mak Kah Keong berkata pihaknya telah menyerahkan kes berkenaan kepada Lembaga Disiplin parti, untuk tindakan selanjutnya.

“Kita ada serah kepada Lembaga Displin untuk mengambil tindakan selanjutnya, biar mereka adakan prosedur yang betul, biar Mok ada hak bersuara dan mendengar.

“Sedikit sebanyak amaran keras telah saya berikan kepada dia (Mok), yang lain saya serahkan kepada Lembaga Displin. Saya akan bawa kes ini kepada Jawatankuasa Kerja Pusat kalau perlu.

“Kalau isu ini memang tidak ada penjelasan bagus atau munasabah (daripada Mok), kita akan gantung (keahlian dia),” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur. 

Sementara itu, Mak turut menitikberatkan pendirian Gerakan yang turut tidak bersetuju dengan perspektif yang dikeluarkan menerusi kenyataan berkenaan.

“Penjawat awam bukannya beban, sebaliknya tulang belakang negara, setiap kegiatan harian dan kemudahan umum serta kehidupan kita, memang berkait rapat dengan penjawat awam yang telah memberi perkhidmatan yang bagus dalam negara,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Mok dalam kenyataan di media sosial, menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan, selain mempersoalkan tindakan kerajaan menambah jumlah penjawat awam.

Dilaporkan juga kenyataan itu yang telah dipadam pada masa terkini, mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, yang menyifatkan kata-kata Mok menimbulkan kemarahan dan mengguris hati penjawat awam.