- Iklan -
Berita

Pandangan tentang pakaian jururawat tidak mewakili 'PAS baru', kata Khairy

Pemimpin Umno dipecat itu mempertahankan PAS selepas ahli Parlimen Kuantan dikritik kerana membangkitkan tentang pakaian jururawat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Khairy Jamaluddin mempertahankan PAS selepas parti itu dikritik berhubung pakaian jururawat. Gambar: Bernama
Khairy Jamaluddin mempertahankan PAS selepas parti itu dikritik berhubung pakaian jururawat. Gambar: Bernama

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kenyataan seorang ahli Parlimen PAS baru-baru ini mengenai etika pakaian jururawat wanita bukan sahaja tidak wajar tetapi juga merugikan parti Islam itu, sambil menambah beliau percaya pandangan itu tidak mewakili pandangan pimpinan parti tersebut. 

Khairy merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyebut pakaian jururawat terlalu ketat dan tidak patuh syariah sekali gus mengundang kecaman hebat di media sosial.

Bekas pemimpin Umno itu juga berpandangan topik etika berpakaian jururawat adalah bukan isu utama dalam sektor kesihatan awam di Malaysia.  

Atas sebab itu, Khairy merasakan Wan Razali dilihat telah menjejaskan usaha yang dilakukan oleh pemimpin PAS selama ini dalam memerangi stereotaip yang dilakukan oleh para pengkritiknya.

"Benda yang paling geram sekali adalah, kenyataan ini mengesahkan stereotaip mengenai PAS. 

"Itu masalahnya," katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap. 

Khairy turut menegaskan PAS sudah pun keluar daripada label konservatifnya, sambil menambah kepimpinan peringkat tertinggi parti itu tidak lagi didominasi oleh agamawan tetapi diwakili oleh mereka yang mempunyai latar belakang kepakaran yang pelbagai. 

"Ramai yang terdiri daripada profesional, jurutera, peguam, jurubank dan sebagainya. 

"Saya sebagai menteri yang pernah berada dalam kerajaan, termasuk menteri PAS dalam jemaah menteri, saya melihat di peringkat tertinggi, mereka sangat praktikal," kata Khairy yang pernah berkhidmat dalam dua kerajaan persekutuan termasuk PAS sebagai rakan gabungan.

Pada masa sama, beliau menyifatkan pemimpin kanan PAS seperti Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan 

Naib Presiden Idris Ahmad sebagai individu "praktikal" dan "tidak menampakkan stereotaip PAS seperti mana YB Kuantan ini".

"Ia hanya memerlukan satu kenyataan untuk mengingatkan orang ramai, bahawa di sebalik wajah profesional yang baru ini, PAS masih lagi PAS yang lama." 

Sementara itu, Khaity turut menepis pandangan Shahril Hamdan bahawa imej pemimpin PAS termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang mungkin menguatkan persepsi parti itu sebagai golongan konservatif, berbanding imej pemimpin Umno yang "bersederhana" dan mampu menenggelamkan suara konservatif.

Menurut Khairy, meskipun Hadi dianggap sebagai agamawan dan mungkin dianggap konservatif namun barisan kepimpinan PAS yang seterusnya adalah terdiri daripada orang-orang yang tidak akan membuat kenyataan seperti yang disebut Wan Razali. 

Katanya, pada masa PAS berdepan cabaran besar dalam usaha untuk keluar dari imej masa lalu, kenyataan ahli parlimen biasa seperti Wan Razali sedikit sebanyak telah "merosakkan" usaha yang sedang dilakukan. 

"Tetapi bagi saya, secara peribadi, saya berpandangan beliau tidak mewakili PAS baru yang cuba ditampilkan." 

Pada perkembangan lain, Khairy berkata penggunaan istilah "gelombang hijau" secara berterusan untuk menggambarkan kelebihan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya tahun lepas adalah percubaan untuk melabelkan PAS sebagai golongan atau kumpulan pelampau agama.

“Gelombang hijau yang dipopularkan antara lain oleh Lim Kit Siang, sebenarnya mempunyai konotasi yang negatif, seolah-olah gelombang hijau yang sekarang ini digunakan untuk membayangkan kebangkitan PN adalah sebuah gelombang ekstremis. 

"Ini sebenarnya maksud tersirat gelombang hijau. 

"Dalam bahasa sains politik moden, istilahnya ialah 'dog whistle', bahasa yang tersirat yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang menjadi ancaman kepada kumpulan lain. 

"Gelombang hijau bukannya deskripsi warna bendera PAS, tetapi satu istilah yang diguna pakai untuk memomokkan orang bukan Melayu dan orang Melayu moderat terhadap gelombang ekstremis Islam," katanya.