- Iklan -
Berita

Wan Junaidi dilantik Yang di-Pertua Dewan Negara ke-19

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menggantikan Rais Yatim yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negara sejak 18 Jun 2020 dan tamat perkhidmatan pada 16 Jun lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama
Yang di-Pertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-19 hari ini.

Wan Junaidi menggantikan Rais Yatim yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negara sejak 18 Jun 2020 dan tamat perkhidmatan pada 16 Jun lepas. 

Pelantikan itu dibuat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengemukakan Wan Junaidi, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dilantik. 

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1), saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih," katanya. 

Cadangan itu disokong Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum itu, Wan Junaidi bersama seorang bekas menteri dan bekas timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Dewan Negara hari ini.

Mereka termasuk, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof dan bekas timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed.

Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan pengerusi sementara Senator Awang Sariyan pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Wan Junaidi dan Nur Jazlan mendapat lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala Mujahid adalah pilihan Dewan Undangan Negeri Perak pada 25 Mei lepas.

Ketika pentadbiran perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, Wan Junaidi berkhidmat dalam portfolio undang-undang bermula 2021 hingga 2022.

Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 2008 hingga 2013.

Mujahid yang juga pengerusi Pakatan Harapan Perak pula adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari 2018 hingga 2020 manakala Nur Jazlan pula pernah memegang jawatan timbalan menteri dalam negeri pada 2015 hingga 2018.

Dewan Negara bersidang selama enam hari bermula hari ini.