- Iklan -
Berita

Telegram jalin kerjasama dengan SKMM, polis bendung jenayah siber, kata Fahmi

Komitmen itu dinyatakan selepas Telegram mengadakan pertemuan dengan beliau hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Telegram sedia menjalinkan hubungan kerja lebih erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis bagi membendung jenayah siber.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata komitmen itu dinyatakan selepas Telegram mengadakan pertemuan dengan beliau di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi SKMM Salim Fateh Din, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ayob Khan Mydin Pitchay dan beberapa pegawai tertinggi polis.

"Dalam mesyuarat selama sejam itu, saya telah menegaskan bahawa terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di (dalam aplikasi) Telegram.

"Kami juga telah menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu Fahmi berkata sejak Januari 2020 hingga Mei 2023, jumlah kerugian yang ditanggung rakyat Malaysia akibat pelbagai aktiviti penipuan menerusi Telegram telah mencecah RM45 juta, justeru kerajaan tidak akan berdiam diri dan membenarkan penjenayah berselindung di sebalik identiti palsu.

"Insya-Allah, pertemuan hari ini adalah permulaan yang baik dalam kerjasama rentas agensi bagi memastikan Telegram akan lebih selamat untuk digunakan," katanya.

Pada 7 Jun lepas, Kementerian Komunikasi dan Digital menggesa Telegram mengadakan pertemuan dengan MCMC dalam masa terdekat bagi mengelak tindakan berhubung beberapa isu keselamatan siber.