- Iklan -
Berita

DUN Selangor bubar Jumaat ini

Ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya di negeri itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail Adun berbahas di Dewan Undangan Negeri Selangor. Gambar: Bernama
Gambar fail Adun berbahas di Dewan Undangan Negeri Selangor. Gambar: Bernama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 23 Jun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya di negeri itu, lapor Bernama.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani.

Pilihan raya akan diadakan di enam negeri tahun ini: Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.

Sebelum ini, Kelantan dijangka membubarkan DUN pada 22 Jun, manakala kerajaan Pulau Pinang memohon untuk membubarkan DUN pada 28 Jun.

Kerajaan Terengganu baru-baru ini berkata ia masih belum memutuskan tarikh pembubaran manakala di Kedah, kerajaan negeri merancang untuk membubarkan DUN pada 28 Jun.

Sementara itu, Negeri Sembilan bersetuju untuk membubarkan DUN pada 30 Jun.

Enam negeri itu sebelum ini dilaporkan mencapai persefahaman untuk membubarkan DUN masing-masing pada akhir bulan ini, bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri serentak.

Terdapat 56 kerusi DUN di Selangor.

Daripada jumlah ini, 40 dipegang oleh Pakatan Harapan dan lima daripada Barisan Nasional, yang merupakan sekutu di peringkat Persekutuan.

Selangor yang pernah berada di bawah PH, dianggap sebagai negeri barisan hadapan kerana kedudukan ekonomi dan politiknya yang strategik. 

Negeri itu pertama kali dirampas daripada BN diketuai Umno oleh gabungan PKR, DAP dan PAS, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat. 

Pada 2014, pertelingkahan mengenai Langkah Kajang PKR untuk menukar menteri besar membawa kepada perbalahan antara PAS dan DAP, walaupun pentadbiran negeri diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum 2018. 

PH kemudian memasukkan Bersatu, sekutu barunya yang menyertai pakatan berkenaan dalam membentuk kerajaan pusat pada masa itu. 

Namun, tidak lama selepas itu Bersatu memutuskan hubungan dengan PH, menjadi pembangkang di negeri itu bersama PAS dan BN.

Dengan BN dan PH kini sebahagian daripada kerajaan pusat, pilihan raya kali ini akan menentukan sama ada Umno kembali membentuk kerajaan negeri buat kali pertama sejak kejatuhannya pada 2008.

Umno gagal mengekalkan mana-mana kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum tahun lalu, dengan Perikatan Nasional (PN) membuat menang besar di kubu kuat BN.

Dengan adanya persefahaman pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan di beberapa kerusi, penganalisis sedang meneliti sama ada keputusan itu akan memihak kepada PN atau PH-BN. 

Minggu lalu, bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin meramalkan walaupun penyokong PH mungkin mengundi calon BN, penyokong BN lebih cenderung memilih calon yang diletakkan PN.