- Iklan -
Berita

Kaum India paling miskin, timbalan menteri ingatkan kerajaan

Wakil rakyat kaum India juga menggesa tindakan diambil ke atas pihak menyeleweng wang untuk kegunaan sendiri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami. Gambar: Bernama

Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara kaum India hari ini tampil menggesa kerajaan menumpukan perhatian yang adil dan saksama melibat isu kemiskinan. 

Mereka menegaskan kaum India yang miskin juga perlu dibela nasib mereka khususnya melibatkan isu taraf kewarganegaraan, pendidikan dan kecekapan pengurusan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) yang sepatutnya menjaga kebajikan kaum itu. 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami berkata ketika kerajaan berusaha membanteras kemiskinan tegar merentas semua kaum, komuniti orang India mesti turut diberikan perhatian.

Katanya, perkara itu juga merupakan satu mesej daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri yang menyatakan tidak mahu mana-mana pihak pun dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

Jelasnya lagi, berdasarkan statistik yang dikongsi perdana menteri mendapati kedudukan kaum India dari segi nisbah adalah kaum yang paling termiskin di Semenanjung Malaysia. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran pula menyentuh isu ketirisan dalam pengurusan Mitra yang pernah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu sehingga mendapat perhatian banyak pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Setiap tahun sejak tahun 2016, ratusan juta diagihkan kepada Mitra.

"Hakikatnya untuk menolong masyarakat India merangkumi golongan B40 tetapi wang ini telah digunakan oleh beberapa ahli politik dan sebagainya," katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen.

Katanya, pertemuan mereka hari ini turut membincangkan perkara itu dan memohon satu penyiasatan menyeluruh dibuat mengenai penyelewengan yang kemungkinan telah berlaku dalam agensi itu. 

Beliau juga memberitahu bahawa sesi penerangan hari ini memaklumkan bahawa proses audit dalaman sedang berjalan.

"Kita harap siasatan akan dibuat sedalam-dalamnya supaya pihak-pihak yang telah menyeleweng wang untuk kegunaan sendiri akan diheret ke mahkamah. 

"Dan tindakan diambil ke atas mereka."

Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pada April mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Sungai Buloh Ramanan Ramakrishnan untuk mengetuai Mitra.