- Iklan -
Berita

PN akan buat kejutan besar di Negeri Sembilan?

Pengerusi PN Negeri Sembilan Ahmad Faizal Azumu berharap gabungan itu akan dapat memenangi sokongan pengundi luar bandar yang secara tradisi menyokong BN.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan Ahmad Faizal Azumu bercakap dalam wawancara dengan MalaysiaNow mengenai harapannya untuk gabungan itu pada pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan Ahmad Faizal Azumu bercakap dalam wawancara dengan MalaysiaNow mengenai harapannya untuk gabungan itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Mohamad Hasan kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018 mengejutkan ramai pihak terutamanya apabila Negeri Sembilan dianggap sebagai antara kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pentadbiran negeri itu dipimpin Aminuddin Harun daripada PKR apabila PH memperoleh 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN sebanyak 16, menyaksikan perbezaan tipis hanya empat kerusi antara kedua-dua gabungan politik itu.

Justeru, situasi ini mencetuskan tanda tanya sama ada PH mampu mengekalkan kedudukan mereka di Negeri Sembilan dengan terus meraih sokongan pengundi Melayu yang meliputi lebih 60% penduduk di negeri terbabit.

Ramai menjangkakan BN akan kembali menawan negeri itu sekiranya berlaku pilihan raya, dan keputusan PRU15 yang berlangsung pada November tahun lalu secara tidak langsung menggambarkan BN memenuhi ramalan itu apabila meraih lima kerusi Parlimen, mengatasi PH yang hanya mampu memperoleh tiga.

Berdasarkan pola pengundian mengikut demografi, jelas sekali menunjukkan BN mengungguli kawasan luar bandar yang terdapat majoriti Melayu iaitu, Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin manakala PH kekal berada di kawasan lebih membangun seperti Seremban dan Port Dickson selain Rasah.

Situasi ini dilihat menarik menjelang ketibaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang mana ia turut melibatkan Negeri Sembilan, apabila kebanyakan ramalan menjangkakan sokongan majoriti Melayu akan beralih ke Perikatan Nasional (PN) seperti yang berlaku pada PRU15 lalu.

Jangkaan ini menimbulkan persoalan sama ada PN yang sebelum ini tiada kerusi DUN akan membuat kejutan besar di Negeri Sembilan apabila gabungan itu diramal mempunyai peluang cerah "merampas" undi Melayu di kawasan luar bandar untuk menggantikan kedudukan BN serta mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH.

Dalam wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow, Pengerusi PN Negeri Sembilan Ahmad Faizal Azumu yang baru dilantik meluahkan keyakinan untuk meluaskan pengaruh di negeri itu terutamanya selepas Umno kini sudah "berkahwin" dengan DAP, parti yang ditolak oleh majoriti pengundi di kawasan luar bandar negeri tersebut.

Katanya, situasi ini akan menjadikan parti komponen PN sebagai sandaran utama bagi penyokong Melayu, sekali gus membolehkan gabungan politik itu memberikan saingan hebat di Negeri Sembilan.

"Kami yakin hari ini sentimen terutama dalam kalangan orang Melayu bukan saja di Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara sudah beralih arah, apatah lagi dengan keadaan di mana parti yang sebelum ini mewakili Melayu seperti Umno telah dengan seteru mereka DAP," katanya.

"Ini mengakibatkan pengundi tradisi mereka beralih dan PN menjadi sandaran utama. Insya Allah kami akan beri saingan hebat di Negeri Sembilan."

Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu berkata proses pengagihan kerusi di negeri itu juga sudah selesai dan akan diumumkan pada waktu sesuai.

Katanya, semua parti komponen termasuk Bersatu, PAS dan Gerakan akan mengambil bahagian dengan calon yang bakal diketengahkan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Mengulas mengenai status pelawaan bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin menyertai Bersatu, Faizal berkata, PN dijangka mampu meraih keputusan cemerlang di Negeri Sembilan bersama atau tanpa bantuan daripada bekas ahli Parlimen Rembau itu.

Bagaimanapun, Faizal mengakui, kehadiran Khairy menyertai Bersatu akan melonjakkan lagi sokongan pengundi di Negeri Sembilan kepada PN.

"PN kita berjuang tak fikir tentang seseorang pemimpin. Kepentingan rakyat adalah perkara paling utama, itu adalah asas perjuangan PN.

"Jika beliau (Khairy) seorang yang hendak bersama dengan kami, Alhamdulillah. Jika tidak, perjuangan tetap diteruskan," kata Faizal.

Khairy sebelum ini ditawarkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan bekas menteri kesihatan itu dijangka memberi jawapan pada minggu ini.

Dalam pada itu, Faizal mengesahkan bahawa beliau bukan calon Menteri Besar Negeri Sembilan dan PN akan ketengahkan calon tempatan untuk memimpin negeri itu jika diberi mandat oleh rakyat.

"Calon MB? Bukan saya kerana saya tidak bertanding. Saya cuma mengambil alih jawatan pengerusi PN dan Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan supaya saya dapat membantu serta membenarkan pemimpin tempatan dapat memberi fokus kepada kawasan masing-masing.

"Di Negeri Sembilan, kita mempunyai ramai calon berkemahiran untuk kita tampilkan sebagai pemimpin utama.

"Jika dapat sokongan nama besar seperti Khairy, kita alu-alukan, namun apa yang kita ada sekarang ini memadai untuk tarik sokongan kepada kami," tambah beliau.