- Iklan -
Berita

DUN Kelantan bubar 22 Jun, kata MB

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob ketika sidang media selepas mengadakan mesyuarat Exco hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob ketika sidang media selepas mengadakan mesyuarat Exco hari ini. Gambar: Bernama

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan dibubarkan pada 22 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besar Ahmad Yakob.

Beliau berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

"Hari ini saya membuat pengisytiharan pembubaran DUN Kelantan bagi penggal ke-14 selepas saya menghadap Sultan Kelantan bagi memohon perkenan pembubaran DUN mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa Sultan boleh membubarkan DUN.

"Justeru, Sultan Kelantan perkenan untuk membubarkan DUN pada 22 Jun ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN.

Namun media sebelum ini melaporkan pemimpin keenam-enam negeri mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai untuk berbuat demikian adalah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan serentak.

Setakat ini, Pulau Pinang bercadang membubarkan DUN pada 28 Jun, manakala Negeri Sembilan pula dijangka 30 Jun ini.