- Iklan -
Berita

PH-BN di Pulau Pinang selesai bincang agihan kerusi PRN

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata BN dan parti komponennya mungkin akan memperoleh lebih kerusi daripada yang disandang ketika ini, untuk menghadapi PRN.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat dalam gambar fail yang diambil sebelum pilihan raya umum pada 19 November 2022.
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilihat dalam gambar fail yang diambil sebelum pilihan raya umum pada 19 November 2022.

Tiada lagi perbincangan di peringkat negeri mengenai pengagihan kerusi di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), untuk pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang, kata Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata mesyuarat di peringkat pusat masih berterusan, namun perbincangan di peringkat negeri boleh dianggap selesai.

“Mesyuarat di peringkat Pusat masih berterusan, yang mana keputusan di peringkat negeri akan dibuat di peringkat Pusat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Ekonomi Pulau Pinang di sini hari ini.

Chow berkata BN dan parti komponennya mungkin akan memperoleh lebih kerusi daripada yang disandang ketika ini, untuk menghadapi PRN.

“Mengikut prinsip penyandang, mereka (BN) ada dua kerusi tetapi masih ada ruang yang mana, kerusi-kerusi sebelum ini dimenangi oleh pihak lain (PAS dan Bersatu). 

“Inilah ruang untuk mengagihkan kerusi-kerusi itu kepada BN dan oleh itu, mereka berpotensi untuk mendapat lebih kerusi, daripada apa yang disandang ketika ini," katanya.

Chow berkata setelah mencapai keputusan rundingan bagi pengagihan kerusi, keputusan itu akan diumumkan serentak bagi kesemua enam negeri yang perlu menghadapi PRN kelak, antaranya Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Khamis lepas, Chow telah mengumumkan kerajaan negeri bercadang membubarkan DUN Pulau Pinang pada 28 Jun ini, bagi memberi laluan kepada PRN.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan PAS.

Pada PRU15, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tidak membubarkan DUN, namun media sebelum ini melaporkan pemimpin keenam-enam negeri mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai ialah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun, bagi membolehkan PRN diadakan serentak.