- Iklan -
Berita

Perjumpaan dengan Sultan Selangor bukan tentang penarikan rayuan kalimah Allah, kata Anwar

Perdana menteri berkata pertemuannya dengan Sultan Selangor adalah mengenai pindaan kepada peraturan Kementerian Dalam Negeri.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) dan Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (kiri) dan Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland lawan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan, sudah dirujuk kepada Majlis Raja-raja seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Kenyataan Anwar dikeluarkan beberapa hari selepas Sultan Selangor meminta supaya isu itu dirujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja.

Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun, berkata perkara itu berbeza dengan apa yang dibincangkan bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini meskipun kedua-dua topik itu mempunyai kaitan dengan isu kalimah "Allah".

Beliau berkata, perbincangan bersama Sultan Sharafuddin adalah mengenai pindaan peraturan KDN dalam menetapkan peraturan membolehkan import barangan yang dilarang.

"Yang saya mengadap Sultan Selangor atas titah Tuanku itu bukan soal keputusan lama (tarik balik rayuan kes kalimah Allah di mahkamah)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

"Yang Sultan Selangor sebut itu dalam soal perakuan Kabinet tentang tidak membolehkan kalimah 'Allah' digunakan di Semenanjung Tanah Melayu diperkenan, kemudian kelonggaran untuk Sabah Sarawak saya jelaskan.

"Kemudian oleh kerana ada pindaan, Tuanku memberikan pandangan bahawa sebaiknya pindaan yang nak dicadangkan itu, iaitu memperkemas peraturan berkenaan, sebaiknya dibawa dulu kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kemudian diangkat untuk dipertimbang Majlis Raja-raja.”

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi membangkitkan Peraturan 36(12) yang menuntut Anwar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat.

Zulkafperi yang mewakili Perikatan Nasional (PN) merujuk kepada kenyataan Anwar pada 23 Mei lalu yang menafikan dakwaan bahawa keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah di mahkamah tidak dirujuk kepada Majlis Raja-raja.

Pada 15 Mei, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah "Allah" dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan yang difailkan pada 18 April lepas itu menyatakan bahawa kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.