- Iklan -
Berita

Malaysia akan terima 2.7 juta vaksin bivalen gantian vaksin hampir luput

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata ia sekali gus dapat bagi mengelakkan pembaziran atau pembuangan vaksin yang luput.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang remaja menunggu giliran ketika bapanya mendaftarkannya untuk vaksinasi Covid-19 di Kuala Lumpur, 25 Oktober 2021.
Seorang remaja menunggu giliran ketika bapanya mendaftarkannya untuk vaksinasi Covid-19 di Kuala Lumpur, 25 Oktober 2021.

Malaysia akan menerima sebanyak 2.7 juta dos vaksin generasi baharu (bivalen) Covid-19 sebagai gantian stok vaksin hampir luput yang sedia ada dalam simpanan Kementerian Kesihatan (KKM).

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata ia sekali gus dapat bagi mengelakkan pembaziran atau pembuangan vaksin yang luput. 

“Walaupun kita mampu menukar kepada bivalen, (tetapi) seperti data yang diperoleh yang hanya 2.5 peratus penerima dos penggalak (kedua), kita mungkin akan mengalami perkara yang sama iaitu terpaksa memusnahkan vaksin yang luput,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19 sebelum ia dipersetujui Persidangan Dewan Rakyat,hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata KKM masih dalam proses rundingan dengan Pfizer Sdn Bhd mengenai vaksin bivalen Covid-19. 

Lukanisman berkata pembelian tambahan dan penerimaan sumbangan vaksin daripada negara luar telah menyumbang kepada lebihan stok vaksin berbanding perancangan asal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, setakat 1 Jun lalu terdapat 8.5 juta stok vaksin pelbagai jenama telah luput di fasiliti KKM dan gudang simpanan vaksin.

“Proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan dilaksanakan mengikut Tatacara Pengurusan Aset dan Tatacara Pengurusan Stor yang berkuat kuasa. Pemantauan status pelupusan juga dilaksanakan secara berkala,” katanya.

Beliau juga memaklumkan seramai 27,550,124 (84.4%) penduduk telah menerima dos primer lengkap; 16,335,715 orang (50%) penduduk telah menerima dos penggalak manakala 823,495 orang iaitu 2.5% populasi telah menerima dos penggalak kedua setakat 30 Mei lalu.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh Disember 2020 sehingga 30 April 2023, kerajaan telah membelanjakan RM5.885 bilion iaitu RM5.348 bilion menerusi KKM, manakala RM537.5 juta lagi oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi pelaksanaan PICK termasuk PICKids. 

Katanya, ia peruntukan Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Selain itu, beliau berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima 26,717 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) vaksin dari Februari 2021 sehingga 30 April lepas dan hanya 1,868 laporan (7%) melibatkan kesan advers serius.

 Mengenai Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19, beliau berkata 319 permohonan telah diterima dan 150 daripadanya telah diluluskan dengan melibatkan jumlah bayaran RM2.5 juta sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, bantuan itu diberikan kepada pemohon yang menjadi penerima vaksin Covid-19 yang mempunyai Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) yang serius atau hilang upaya kekal serta waris penerima vaksin yang meninggal dunia.