- Iklan -
Berita

Mahathir kini ‘sesat’ kerana bersama PAS, kata DAP

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menggesa supaya bekas perdana menteri itu disiasat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer. Gambar: Bernama

Dr Mahathir Mohamad perlu disiasat pihak berkuasa kini, bukan ketika menjadi perdana menteri Pakatan Harapan (PH) kerana beliau kini sudah “sesat” kerana bersama PAS, kata Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dari DAP.

Terdahulu, ketika di Dewan Rakyat hari ini, wakil rakyat daripada PH itu bertanya mengapa Mahathir tidak pernah disoal siasat atas insiden yang berlaku pada 1998 apabila bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor menumbuk muka Anwar Ibrahim hingga menyebabkan mata beliau lebam.

Beliau berkata, tidak adil sekiranya hanya Rahim menanggung kesalahan itu seorang diri dan perlu diketahui siapakah individu yang memberi arahan kepada beliau membuat tindakan sedemikian.

"Memang kita tahu mantan ahli Parlimen Langkawi, Mahathir adalah perdana menteri pada ketika itu.

“Bukankah beliau juga perlu disiasat?” soal Rayer ketika berucap pada sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat hari ini.

"Dari sisi undang-undang tidak ada hadnya.

“Kalau kes sivil, lepas enam tahun tiada kes boleh difailkan tetapi sekarang saya ingin tanya, (bekas) ketua polis negara bertindak atas arahan siapa?”

Bagaimanapun Ahli Parlimen Parti Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki dari Perikatan Nasional (PN) kemudian mempersoalkan mengapa isu ini hanya dibangkitkan hari ini dan tidak pernah diusulkan ketika Mahathir menjadi perdana menteri semasa pentadbiran PH sebelum ini.

"Mengapa sewaktu Langkawi jadi PM zaman PH perintah, Jelutong tak bangkit, seret dia (Mahathir) ke mahkamah?" soalnya.

Menurut Rayer, ia kerana ketika itu Mahathir bersama dengan PH dan kini beliau bersama dengan PAS.

"Sekarang beliau ikut PAS dan PAS bersama beliau.

"Masa itu Tun tidak sesat.

“Sekarang bersama PAS dia sudah sesat,” jawab Rayer sambil menegaskan beliau tidak membuat sebarang tuduhan kepada sesiapa dan hanya sekadar bertanya.