- Iklan -
Berita

Hentikan segera tahanan kanak-kanak pelarian, pencari suaka, gesa PN

Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata ini kerana kematian di depot tahanan imigresen melibatkan kanak-kanak semakin membimbangkan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Lori Jabatan Imigresen membawa tahanan Rohingya untuk dihantar ke depot tahanan di Relau, Kedah. Gambar: Bernama
Lori Jabatan Imigresen membawa tahanan Rohingya untuk dihantar ke depot tahanan di Relau, Kedah. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dari Perikatan Nasional (PN) menggesa supaya kerajaan menghentikan penahan kanak-kanak pelarian dan pencari suaka sebaliknya diletakkan di bawah pusat penjagaan sementara melalui badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, ini kerana kematian di depot tahanan imigresen melibatkan kanak-kanak semakin membimbangkan.

Sehingga Mei 2023, sebanyak 998 kanak-kanak ditahan di depot tahanan dan purata empat kanak-kanak maut setiap tahun. 

Manakala direkodkan tujuh kanak-kanak meninggal dunia sejak 2014 hingga Julai 2022.

Selain itu, Tarmizi menegaskan mengapa Malaysia perlu menghentikan penahanan kanak-kanak dengan segera apabila menyedari tahanan itu berisiko membahayakan kesihatan mental dan fizikal golongan itu.

"Sebarang tempoh penahanan termasuk tempoh penahanan pendek menyebabkan kesan berpanjangan kepada kanak-kanak sama ada mereka ditahan bersama ahli keluarga atau bersendirian," katanya ketika membahaskan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mengulas lanjut, katanya, tahanan imigresen turut menjejaskan ekonomi negara dengan 90% lebih mahal daripada program tahanan alternatif yang menyediakan penjagaan berasaskan komuniti bagi kanak-kanak dan pelarian.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu projek rintis ”Alternative To Detention (ATD)” bagi melindungi kanak-kanak yang dilihat tiada perkembangan baru sejak dilancarkan oleh Putrajaya.

Projek yang dikerahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah daripada penjaga mereka dibebaskan daripada tahanan imigresen.

Kemudian, diletakkan di bawah perlindungan sementara mengakui kebarangkalian kemudaratan yang boleh dialami kanak-kanak apabila berada dalam tahanan depot imigresen.

"Namun begitu selepas satu tahun berlalu, projek rintis ATD ini tidak dilaksanakan sehingga Mei 2023.

"Tiada kanak-kanak yang dibebaskan dan diletakkan di pusat perlindungan sementara."