- Iklan -
Berita

Hak asasi bermula di Parlimen, PN ingatkan kerajaan

Peranan pejabat ahli-ahli Parlimen bukan hanya meliputi kerja-kerja pejabat tetapi juga menyediakan perkhidmatan yang lebih kondusif kepada rakyat setempat.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 3 April. Gambar: Reuters
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 3 April. Gambar: Reuters

Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) meminta kerajaan supaya tidak melupakan peruntukan asasi untuk blok pembangkang bagi memastikan pejabat Parlimen masing-masing dapat berfungsi dengan baik.

Ahli Parlimen Tumpat (PN-PAS) Mumtaz Md Nawi menegaskan ahli-ahli Parlimen yang dipilih sendiri oleh rakyat masih berdepan isu kewangan khususnya mengenai hal ehwal pentadbiran pejabat.

Ketika membahasakan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Mumtaz berkata suruhanjaya itu menerima peruntukan cecah jutaan ringgit untuk menjalankan pelbagai program di seluruh negara. 

Pada tahun 2016, Suhakam menerima peruntukan sebanyak RM5.9 juta manakala RM12.9 juta bagi tahun 2020.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen yang turut menjadi hak asasi mereka telah dinafikan oleh pihak kerajaan.

"Jadi bagaimana kita boleh membincangkan tentang hak asasi orang lain sedangkan ahli Parlimen pilihan rakyat tidak mampu dan tak diberikan hak asasi sekurang-kurangnya elaun untuk pejabat."

Tambahnya lagi, peruntukan itu amat penting bagi memastikan tugas harian dan fungsi-fungsi yang dipikul oleh pejabat Parlimen di setiap negeri dapat beroperasi tanpa halangan.

Sebelum ini, dilaporkan tiga Ahli Parlimen PN telah dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima ahli Parlimen pembangkang.

Tiga wakil itu ialah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin. 

Tambah Mumtaz, tidak dinafikan setiap ahli-ahli Parlimen menerima gaji untuk menjalankan kerja kepada rakyat setempat.

Bagaimanapun, tiada peruntukan tambahan disalurkan untuk meneruskan fungsi pejabat selain sering dipinggirkan oleh menteri apabila melawat kawasan-kawasan Parlimen pembangkang.

Baginya, peranan pejabat ahli Parlimen bukan hanya meliputi kerja-kerja pejabat tetapi juga menyediakan perkhidmatan yang lebih kondusif kepada orang awam.

Ini termasuklah menyediakan taska dan fasiliti lain yang boleh dimanfaatkan secara menyeluruh dalam kalangan penduduk Parlimen masing-masing.

"Jadi saya mohon hak asasi manusia perlu bermula dari Parlimen," ujarnya.