- Iklan -
Berita

Pulau Pinang cadang bubar DUN 28 Jun, kata ketua menteri

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. Gambar: Bernama

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak untuk mendapat perkenan membubarkan DUN dalam masa terdekat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu juga berkata proses pengagihan kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan sudah 95 peratus selesai.

“Buat masa ini, sebarang rundingan PH-BN akan diurus di peringkat kebangsaan dan apa-apa keputusan muktamad akan dibuat di peringkat kebangsaan… Kami percaya akan ada lagi pertemuan selepas ini,” katanya dalam sidang media di Georgetown hari ini.

Sebelum ini, Chow dilapor berkata rundingan yang berlangsung sejak bulan lepas berjalan lancar namun masih terdapat beberapa kerusi belum diputuskan kerana wujud pertindihan.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan PAS.

Pada PRU15, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN namun media sebelum ini melaporkan pemimpin keenam-enam negeri mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai ialah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan serentak.