- Iklan -
Berita

Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman ibu bapa Teoh Beng Hock

Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh berkata beliau menarik diri kerana beliau sebelum ini terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kematian Beng Hock.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang menempatkan Mahkamah Tinggi.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang menempatkan Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh semalam menarik diri daripada mendengar permohonan semakan kehakiman ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya polis melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 14 tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita berkata hakim itu menyatakan demikian semasa pengurusan kes tersebut hari ini.

“Yang Arif (Amarjeet) telah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana beliau pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

“Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 10 Julai ini dan kes ini akan didengar di hadapan hakim baharu iaitu Wan Ahmad Farid Wan Salleh,” kata Ahmad Hanir.

Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Jan tahun lepas, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, polis dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat. 

Pada 16 Jun 2022, pasangan itu memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman selepas mahkamah menolak bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

Pasangan berkenaan memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan walaupun tiga pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Beng Hock, siasatan didapati belum lengkap kerana berdasarkan surat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bertarikh 21 September 2021, Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan kembali kertas siasatan kepada Ketua Polis Negara pada 3 September 2021.

Mereka mendakwa kertas siasatan berhubung kematian Beng Hock telah dikembalikan kepada responden pertama, kedua dan ketiga oleh AGC untuk siasatan lanjut namun ia masih belum dilengkapkan oleh polis walaupun insiden itu berlaku hampir 14 tahun lepas.

Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14 bangunan sama.