- Iklan -
Berita

Dasar, syarat terhadap Lynas tidak berubah sejak 2020, kata menteri

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kerajaan konsisten dengan perkara itu dan sehingga kini syarat yang dikenakan masih diguna pakai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang diambil pada 2 Februari 2012 ini menunjukkan seorang jurutera berjalan melepasi papan tanda Lynas di pejabat pentadbiran loji syarikat nadir bumi itu di Gebeng. Gambar: AFP
Gambar yang diambil pada 2 Februari 2012 ini menunjukkan seorang jurutera berjalan melepasi papan tanda Lynas di pejabat pentadbiran loji syarikat nadir bumi itu di Gebeng. Gambar: AFP

Kerajaan tidak pernah mengubah dasar dan syarat lesen pengoperasian yang dikenakan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) sejak 2020, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kerajaan konsisten dengan perkara itu dan sehingga kini syarat yang dikenakan masih diguna pakai.

“Lynas Malaysia juga sedia maklum dan menerima syarat yang digariskan serta melaksanakan syarat itu termasuk membina loji bagi aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L) di Australia.

“Sejak 2020 kita kenakan syarat itu dan hari ini syarat yang sama, tiada perubahan … tiada elemen kejutan. Kita sudah teliti semua syarat dan tiada keputusan untuk buat perubahan, konsisten itu penting kerana hal ini melibatkan pelaburan asing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung dasar serta syarat yang dibuat kerajaan dalam isu Lynas yang dilihat tidak jelas dan boleh menjejaskan pelaburan asing dan tenaga pakar tempatan. 

Jelas Chang, syarat yang dikenakan itu dibuat berdasarkan faktor dasar kerajaan, impak terhadap alam sekitar serta respons masyarakat setempat terhadap pengoperasian Lynas Malaysia bagi projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Selain itu, beliau berkata keputusan kerajaan melanjutkan tempoh operasi selama enam bulan kepada Lynas Malaysia diambil supaya rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global tidak terganggu.

Beliau berkata keputusan pelanjutan itu adalah muktamad dan tidak boleh diubah lagi selaras dengan Seksyen 32(5) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

“Kita beri lanjutan kerana loji C&L di Australia yang sepatutnya siap pada Julai ini tidak dapat disiapkan, mengambil kira tidak mahu ganggu rantaian bekalan global maka kita buat keputusan untuk beri lanjutan,” katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

Sebelum ini, kerajaan menetapkan empat syarat termasuk aktiviti C&L, penjanaan residu water leach purification (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Selepas 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi kerana syarikat itu tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.