- Iklan -
Berita

Pemimpin Umno saling bertengkar kerana Rafizi

Ia adalah perang mulut yang terbaru rentetan serangan terhadap pemimpin PH daripada sekutu baru mereka Umno.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Gambar: Bernama
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Gambar: Bernama

Perang mulut mula tercetus antara dua pemimpin kanan Umno berhubung kritikan yang dilemparkan terhadap Rafizi Ramli dari PKR, yang dilihat sebagai peningkatan bibit ketegangan dalam parti Melayu itu selepas enam bulan berganding bahu dengan musuhnya untuk membentuk kerajaan. 

Ini berlaku sehari selepas Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegur pemimpin Umno Johor Puad Zarkashi kerana mengkritik prestasi Rafizi sebagai menteri ekonomi. 

Asyraf ketika mempertahankan Rafizi berkata sebarang kelemahan dalam kerajaan adalah tanggungjawab kolektif dan bukan terletak di bahu seorang individu. 

Beliau berkata pemimpin Umno yang mengkritik gabungan pemerintah yang menjadi sebahagian daripadanya adalah sama seperti "menembak kaki sendiri". 

Tetapi dalam respons tegas kepada Asyraf, Puad mempersoalkan sama ada Rafizi tidak boleh dikritik, dan mengingatkan bagaimana timbalan presiden PKR itu pernah "menghasut".

“Apa maksud tembak kaki sendiri? Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? 

“Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi,” katanya.

Rafizi adalah antara menteri yang menjadi sasaran pengkritik, dengan sindiran di internet dan siaran media sosial mempersendakan ucapannya sebelum ini yang mengecam kerajaan berhubung kenaikan harga dan kejatuhan ringgit. 

Hampir sebulan selepas mengambil alih portfolio ekonomi, Rafizi diserang kerana memberitahu orang ramai supaya tidak memakan ayam jika ia terlalu mahal. 

Rafizi juga dikritik sejak kebelakangan ini selepas ringgit merosot ke nilai terendah berbanding dolar AS sejak krisis mata wang Asia pada akhir 1990-an.

Dalam nada melawan, Puad berkata seseorang akan menembak di kakinya jika gagal beraksi dengan baik dan “gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai”. 

“Itu menjadikan kerajaan lebih lemah. Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri bila takut bersuara dan kelemahan dibiarkan berleluasa.”

Puad adalah antara beberapa pemimpin kanan Umno Johor yang lantang mengkritik menteri PKR.

Dua lagi, pemimpin veteran Umno Shahrir Samad dan Ahli Majlis Tertinggi Nur Jazlan Mohamed terus mempersoalkan menteri PH. 

Minggu lalu, Shahrir memuat naik sindiran mengenai dakwaan Rafizi sebelum ini bahawa ringgit lemah adalah disebabkan skandal 1MDB.

“Kini nilai jauh lagi rendah sebab tak ada 1MDB,”menurut kapsyen yang disertakan dengan gambar Rafizi.

April lalu, Nur Jazlan membidas pendirian pemimpin PH kerana menyifatkan keputusan Umno menyertai kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semata-mata untuk terus hidup selepas ditolak oleh pengundi Melayu di kerusi tradisinya pada pilihan raya tahun lepas.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang dan pemimpin PH yang lain turut diserang Umno selepas mereka mengkritik usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara. 

“Mereka takut jika Najib bebas. Dia ancaman kepada PH dan Anwar. 

“Mereka takut, Umno tambah kuat melalui gabungan Najib-Zahid,” kata Puad.