- Iklan -
Berita

Pengarah syarikat mohon batal tuduhan tawar suapan percepat pengambilalihan Menara KL

Notis bantahan awal itu difailkan menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, pada 31 Mei lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (kiri) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 2 Jun. Gambar: Bernama
Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (kiri) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 2 Jun. Gambar: Bernama

Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh memohon untuk membatalkan pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur yang dihadapinya.

Abdul Hamid Shaikh, 49, memfailkan notis bantahan awal menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, pada 31 Mei lalu.

Berdasarkan notis tersebut, pihak pembelaan mendapati pertuduhan terhadap Hamid cacat selain tidak berasas kerana salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak dinyatakan.

Selain itu, pertuduhan tersebut gagal mematuhi peruntukan Seksyen 152, 153  dan 154 Kanun Prosedur Jenayah kerana satu daripada butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan tidak dinyatakan dalam pertuduhan.

Pada prosiding hari ini di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Hamid mengesahkan telah memfailkan notis itu menerusi e-mel selain telah menerima sebahagian dokumen kes daripada pihak pendakwaan. 

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat berkata pihaknya akan menyerahkan sebahagian lagi dokumen kes tersebut kepada pembelaan pada sebutan kes akan datang dan mengesahkan telah menerima notis bantahan awal.

Suzana menetapkan 19 Jun untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan 18 Julai ini untuk keputusan bagi permohonan bantahan awal itu.

Terdahulu, di hadapan Hakim Rozina Ayob, Amer Hamzah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan supaya kes syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd digantung sementara pelupusan prosiding kes Hamid.

Mahadi pula berkata pihaknya memohon untuk memindahkan kes syarikat Hydroshoppe ke Mahkamah Sesyen lain untuk dibicarakan bersama kes Hamid.

Amer Hamzah membantah perkara itu dan meminta agar pihak pendakwaan membuat permohonan itu secara bertulis. 

Rozina menetapkan 5 Julai ini untuk pendengaran permohonan penggantungan sementara kes syarikat Hydroshoppe dan pemindahan kes itu ke Mahkamah Sesyen lain.

Pada 5 April lalu, Hamid didakwa menawarkan suapan melalui Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar yang merupakan menteri komunikasi dan multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Sementara itu, syarikat Hydroshoppe didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan itu kepada Tan, seorang ahli perniagaan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.