- Iklan -
Berita

Sekutu Jho Low meninggal dunia akibat angin ahmar, lapor akhbar

Ahli perniagaan Kee Kok Thiam telah dibawa pulang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia awal bulan ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melepasi tapak pembinaan utama 1MDB, Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2015. Gambar: AFP
Seorang penunggang motosikal melepasi tapak pembinaan utama 1MDB, Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2015. Gambar: AFP

Seorang ahli perniagaan yang dibawa pulang ke Malaysia oleh pihak berkuasa awal bulan ini kerana disyaki menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) disahkan meninggal dunia, lapor Berita Harian. 

Kee Kok Thiam, yang melarikan diri sejak 2018, dibawa pulang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Mei lalu. 

Menurut Berita Harian, Kee yang juga sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, meninggal dunia akibat angin ahmar. 

Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata bahawa siasatan SPRM terhadapnya bagaimanapun akan diteruskan.

"SPRM kini berjaya mengesan kembali kira-kira AS$5 juta (iaitu) aset dan wang tunai 1MDB di Singapura.

"Siasatan SPRM tetap berjalan bagi mendapatkan semula dana-dana 1MDB yang dikaitkan dengan mendiang," kata sumber itu dilaporkan sebagai berkata.

Menurut sumber lain, hasil siasatan mendapati Kee dipercayai telah menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited. 

Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) telah melaporkan berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira AS$5.2 juta (RM23.1 juta).

Selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa beliau telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).