- Iklan -
Berita

Jho Low bersembunyi di Macau, kata SPRM

Ini susulan kenyataan beberapa individu sebelum ini mengenai kelibat ahli perniagaan itu yang melarikan diri ke sana.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho. Gambar: AFP
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho. Gambar: AFP

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dikehendaki kerana peranan utamanya dalam skandal berbilion dolar melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipercayai bersembunyi di Macau, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Ia sekali gus mengesahkan laporan yang diterbitkan Al-Jazeera sebelum ini.

Al Jazeera memetik jawapan bertulis daripada agensi anti rasuah itu berhubung pertanyaan agensi berita tersebut mengenai keberadaan Low.

"Ini juga disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat Jho Low di Macau," Al Jazeera memetik SPRM sebagai berkata. 

SPRM juga mengesahkan bahawa agensi itu telah mengeluarkan kenyataan terbabit kepada Al Jazeera, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Reuters cuba mendapatkan komen daripada polis dan kerajaan Macau namun tidak berjaya.

Low telah didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa menjadi dalang ke atas kecurian sejumlah AS$4.5 bilion (RM20.71 bilion) daripada dana 1MDB. 

Dia secara konsisten menafikan terlibat dengan salah lalu tersebut.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini berkata Low dipercayai berada di China, meskipun Beijing telah menafikannya. 

Menurut Al Jazeera, jawapan SPRM itu dibuat hanya beberapa minggu selepas penahanan Kee Kok Thiam – sekutu Low di Malaysia dan suspek dalam kes 1MDB, yang dikatakan dihantar pulang dari Macau kerana tinggal melebihi tempoh masa visanya.

Laporan itu berkata Kee telah mengesahkan kepada SPRM bahawa dia telah bertemu Low dan individu dalam buruan serta suspek kes 1MDB yang lain di Macau.

Al Jazeera memetik SPRM sebagai berkata, Lom memberitahu Kee supaya "tidak pulang ke Malaysia untuk menjadi saksi dalam kes 1MDB".

Reuters bagaimanapun, tidak dapat menghubungi Kee bagi mendapatkan komen.

Awal bulan lalu, SPRM mengesahkan bahawa seorang rakan sekutu Low yang namanya tidak didedahkan dan melarikan diri sejak 2018 telah dihantar pulang oleh pihak berkuasa anti rasuah, hasil kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa. 

Menurut Polis Malaysia, Low dipercayai telah meninggalkan Macau ke destinasi yang tidak diketahui pada 2018, memetik e-mel daripada pihak berkuasa Macau. 

Polis kehakiman Macau ketika itu mengesahkan mereka telah menghantar maklum balas kepada Malaysia tetapi "tidak akan mendedahkan maklumat peribadi keluar dan masuk ke negara itu".