- Iklan -
Berita

Rayuan Sapura Energy terhadap Rafizi berhubung dokumen imbuhan didengar 8 Ogos

Peguam menteri ekonomi berkata tarikh itu ditetapkan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi semasa pengurusan kes hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang menempatkan Mahkamah Tinggi.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang menempatkan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 Ogos untuk mendengar rayuan oleh Sapura Energy Bhd terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membenarkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendapatkan dokumen berhubung gaji dan elaun dibayar kepada Shahril Shamsuddin, semasa menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd.

Peguam Rafizi, Navpreet Singh semasa mengesahkannya berkata tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Pada 14 April lepas Hakim Mahkamah Sesyen Lailatul Zuraida Harron@Haron dalam membenarkan permohonan Rafizi, mengarahkan supaya syarikat berkenaan mengemukakan dokumen yang diminta oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam tempoh sebulan daripada tarikh keputusan (14 April).

Susulan itu Sapura Energy memfailkan notis rayuan bertarikh 25 April, terhadap keputusan berkenaan.

“Pendaftar yang arif (Rozana Husin) memberikan arahan untuk memfailkan hujah bertulis menjelang 11 Julai dan hujah jawapan menjelang 25 Julai,” kata Navpreet ketika dihubungi media. 

Pada 24 November lepas, Rafizi memfailkan permohonan itu dan meminda pembelaannya yang difailkannya pada Julai tahun lepas.

Dalam permohonan itu, Rafizi telah memohon kebenaran mahkamah untuk Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.

Shahril memfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei tahun lepas, berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya antara 31 Mac hingga 4 April tahun lepas.

Artikel berkenaan sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy.

Rafizi yang membantah pandangan Najib mendakwa dana awam tidak seharusnya digunakan bagi melindungi golongan elit.