- Iklan -
Berita

Sultan Johor titah Putrajaya perhalusi isu kalimah Allah dengan cermat

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah perkara itu berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Gambar: Bernama
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Gambar: Bernama

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah baginda masih berpegang kepada fatwa yang mewartakan kalimah Allah adalah hak eksklusif orang Islam, dan memberi amaran kepada Putrajaya supaya berwaspada susulan tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan Arab itu.

“Kerajaan Persekutuan hendaklah memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan-kesan keputusan itu kerana ia berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan bahawa kerajaan menarik balik rayuan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka. 

Mahkamah Tinggi ketika itu membuat keputusan memihak kepada permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh penganut Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Dia memohon perisytiharan mahkamah bahawa hak Perlembagaannya dicabuli apabila Kementerian Dalam Negeri pada 2008 merampas cakera padat dan buku agama Kristian yang menggunakan kalimah "Allah" di bawah Seksyen 9(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. 

Kerajaan di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. 

Tindakan menarik balik rayuan itu mencetuskan kritikan daripada kumpulan Islam, manakala Muhyiddin berkata kerajaan sepatutnya membenarkan mahkamah menyelesaikan pertikaian itu.

Dalam pada itu, Anwar mempertahankan keputusan berkenaan dengan mengatakan larangan terhadap orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam bahan agama mereka kekal. 

Anwar ketika berucap di Dewan Rakyat semalam menegaskan langkah untuk menarik balik rayuan itu dibuat selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. 

Katanya, Agong bertitah bahawa sebarang keputusan mesti selaras dengan Majlis Raja-raja Melayu, yang melarang perkataan itu digunakan oleh penganut Kristian di Semenanjung, sambil memberi kelonggaran kepada mereka di Sabah dan Sarawak.

Sultan Ibrahim hari ini bertitah fatwa yang diwartakan di Johor pada 4 Jun 2009, jelas menyatakan orang bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah. 

“Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Penyebaran Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam seni kata 'Lagu Bangsa Johor'," titah baginda. 

"Peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan tentang kalimah Allah mesti diperinci tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat majmuk kita akan terus terpelihara."