- Iklan -
Berita

Muhyiddin gesa dasar lebih konkrit, pragmatik selesai masalah kebankrapan

Beliau berkata, kerajaan wajar memberi penekanan kepada usaha membantu individu-individu bankrap membina semula ekonomi mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan melaksanakan dasar-dasar konkrit dan pragmatik dalam menyelesaikan masalah insolvensi dalam kalangan rakyat dengan lebih efektif. 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kerajaan wajar memberi penekanan kepada usaha membantu individu-individu bankrap membina semula ekonomi mereka.

"Ini penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

"Antaranya mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja luar negara yang mungkin mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan dari Jabatan Imigresen," kata bekas perdana menteri itu ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU)  Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan pentadbiran Muhyiddin pada 2020 menggubal Akta Covid-19 di mana nilai ambang yang membolehkan seseorang diisytiharkan bankrap dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000. 

Ia menyelamatkan ramai rakyat yang berdepan masalah kebankrapan ketika pandemik melanda negara. 

Di bawah pindaan itu, dua kategori pelepasan bankrap diperkenalkan iaitu pesakit mental dan individu yang berusia 70 tahun ke atas. 

RUU itu dibentangkan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said untuk bacaan kali pertama dua hari lepas. 

Ia bertujuan memperkukuhkan peruntukan berhubung pelepasan automatik, keperluan mandatori mesyuarat pertama pemiutang serta teknologi jarak jauh dana pentadbiran kebankrapan.

Dalam satu kenyataan, Azalina berkata sebanyak 16 kes kebankrapan didaftarkan secara purata setiap hari pada 2022, manakala kes kebankrapan yang dilepaskan KPI bagi tempoh sama ialah 27 kes setiap hari. 

Muhyiddin berkata 64.8% kes kebankrapan membabitkan jumlah antara RM100,000 hingga RM499,999 manakala 20.96% membabitkan nilai RM50,000 hingga RM99,000.

"Justeru, apakah perancangan khusus yang diambil kerajaan terhadap kes kebankrapan melibatkan hutang melebihi RM50,000 memandangkan sekitar 130,000 (50%) daripada 260,000 kes bankrap yang layak untuk mendapat pelepasan mereka?" katanya.

Muhyiddin yang juga turut mencadangkan kerajaan meneliti cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai had bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan dipanjangkan kepada 20 tahun bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat. 

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan kawal selia perkhidmatan kredit seperti “Buy Now, Pay Later” (BNPL) yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.

"Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang ini menggunakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan. 

“Kadar caj atau faedah ini boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit," katanya.

Katanya, BNPL berisiko memburukkan lagi keberhutangan isi rumah sekiranya tiada campur tangan pihak berkuasa.