- Iklan -
Berita

Takwim persekolahan mula Januari pada 2026, kata KPM

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ini bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika berucap di Dewan Rakyat, 23 Februari. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika berucap di Dewan Rakyat, 23 Februari. Gambar: Bernama

Kementerian Pendidikan (KPM) memberitahu takwim sesi persekolahan bermula pada Januari akan kembali berkuat kuasa pada tahun 2026 dengan usaha mengawalkan sesi persekolahan tahun 2024/2025 bermula pada bulan Februari.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya sedang meneliti dan merancang untuk mengembalikan takwim asal kalendar akademik bermula pada bulan Januari sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

Katanya, ini bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran selama 36 minggu untuk menyelesaikan keseluruhan kokurikulum sepanjang tahun.

Pada masa sama, Fadhlina berkata KPM juga melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam supaya ianya selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan selepas negara beralih ke fasa endemik.

“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada tahun 2026.

“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang oleh semua pihak yang terlibat,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, KPM memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Permulaan takwim persekolahan itu diubah daripada Januari kepada Mac sejak 2022, selepas KPM mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Februari tahun berikutnya ketika sesi persekolahan terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda seluruh negara.