- Iklan -
Berita

Kerajaan patut benarkan mahkamah putuskan pertikaian kalimah Allah, kata Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu menegaskan membenarkan penggunaan kalimah Arab dalam bahan agama Kristian akan mengancam keharmonian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sepatutnya membenarkan mahkamah menyelesaikan pertikaian mengenai penggunaan kalimah Allah.

Ia berikutan pengumuman Putrajaya minggu ini kerajaan menarik balik rayuannya untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah itu dalam penerbitan agama mereka.

“Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa hak perlembagaannya dicabuli apabila Kementerian Dalam Negeri pada 2008 merampas CD dan buku agama Kristian menggunakan kalimah"Allah" di bawah Seksyen 9 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. 

Keputusan mahkamah itu diikuti dengan rayuan yang difailkan oleh Putrajaya, pada ketika itu di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin. 

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mengesahkan kerajaan tidak meneruskan rayuan itu.

Ini sekali gus mencetuskan kritikan daripada kumpulan Islam termasuk daripada bekas menteri agama Islam, Zulkifli Mohamad al-Bakri, yang mengatakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu berdasarkan pendirian jawatankuasa yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa di peringkat kebangsaan, serta titah Sultan Johor dan Sultan Selangor. 

Muhyiddin, yang merupakan menteri dalam negeri sewaktu penggal pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad, turut mendedahkan bahawa seorang menteri tertentu daripada DAP menghubungi kementeriannya meminta Putrajaya menyelesaikan kes Jill di luar mahkamah.

“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

“Pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang. Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata Muhyiddin.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan menarik balik rayuan itu dengan berkata larangan ke atas orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam bahan agama mereka masih kekal.

"Ini khusus dalam kes Sarawak…ia tidak terpakai seperti di Melaka atau Pulau Pinang atau Selangor...itu kena faham," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata kes Jill Ireland mempunyai kaitan dengan rampasan bahan-bahannya, dan menggesa orang ramai untuk melaporkan sebarang penerbitan yang menyalahi undang-undang yang boleh mengancam ketenteraman awam.