- Iklan -
Berita

2 kementerian bekerjasama selesai masalah air, kata Rafizi

Kerjasama itu melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isu air memerlukan kerjasama yang kolektif, justeru kedua-dua kementerian itu termasuk operator syarikat air di seluruh negara akan bersama-sama mencari langkah penyelesaian, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Isu air memerlukan kerjasama yang kolektif, justeru kedua-dua kementerian itu termasuk operator syarikat air di seluruh negara akan bersama-sama mencari langkah penyelesaian, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan bekerjasama bagi mencari kaedah dan merangka modul bersesuaian dalam menyelesaikan masalah air di negara ini. 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata isu air memerlukan kerjasama yang kolektif, justeru kedua-dua kementerian itu termasuk operator syarikat air di seluruh negara akan bersama-sama mencari langkah penyelesaian.

"Bidang kuasa air di bawah kementerian NRECC tapi perancangan infrastruktur di bawah Kementerian Ekonomi, kita akan bekerjasama untuk mencari jalan selesaikan masalah-masalah syarikat operator air yang dimiliki kerajaan negeri secara bersepadu.

"Malah minggu lepas, saya telah berjumpa dengan ketua-ketua syarikat air di seluruh negara untuk dengar dan lihat sendiri dari segi kemampanan kewangan mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) (2021-2025) oleh Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Pahang di Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang memaklumkan masalah air di Kelantan dan Sabah akan cuba ditangani Kerajaan Persekutuan meskipun melibatkan belanja besar. 

Hadir sama ke sesi libat urus itu Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib.

Rafizi berkata kerjasama antara dua kementerian itu dilaksanakan bagi membolehkan beberapa pilihan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Kita akan bentang kepada Kerajaan Persekutuan pilihan-pilihan yang boleh diambil kira yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap perkhidmatan air di negara ini dapat ditambah baik dari semasa ke semasa selain menjangkakan sekurang-kurangnya 50 peratus projek bekalan air dapat disiapkan dalam tempoh tujuh tahun bermula tahun depan, iaitu dalam tempoh pelaksanaan RMK-12 hingga RMK-13.

Sementara itu, menyentuh mengenai industri nadir bumi, beliau berpandangan ia mempunyai potensi yang baik dan perlu dibangunkan dengan lebih strategik serta tidak dibiarkan tanpa pembangunan yang menyeluruh.

"Ia perlukan penyelarasan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan...ia salah satu industri perlu dikawal selia sebaik mungkin dari segi proses dan sebagainya,” kata Rafizi.