- Iklan -
Berita

Tahanan Sosma berdepan masalah mental selepas dibebaskan

Mustaza Abdul Rahman menghidap masalah gangguan tekanan pasca trauma atau PTSD akibat daripada seksaan fizikal dan mental yang dialaminya sepanjang bergelar tahanan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Mahathir Abdul Rahman menunjukkan gambar adikya, Mustaza, bersama seorang pegawai di penjara tempat dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.
Mahathir Abdul Rahman menunjukkan gambar adikya, Mustaza, bersama seorang pegawai di penjara tempat dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Kepulangan Mustaza Abdul Rahman ke pangkuan keluarganya pada Ramadan lalu sememangnya dinanti-nantikan setelah enam tahun meringkuk dalam penjara akibat sabitan kes Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau dikenali sebagai Sosma.

Bekas polis tersebut ditahan pada Jun 2016, seminggu sebelum Aidilfitri tahun berkenaan dan didakwa atas beberapa pertuduhan antaranya menyembunyikan maklumat, berbaiah dan menyokong keganasan. 

Keluarganya berhempas pulas di mahkamah untuk memperjuangkan nasib Mustaza sebelum beliau dibebaskan Mei lalu. 

Bagaimanapun, kesyukuran dan keterujaan keluarga menerima semula anak kedua daripada enam adik-beradik itu tidak bertahan lama apabila dia dikesan menghidapi gangguan mental.

"Kami tak menyangka perkara ini berlaku. Semasa bertemu di penjara dan semasa membuat panggilan telefon, dia nampak okay.

"Selepas dibebaskan, dia juga kelihatan normal semasa berbual.  

“Tetapi apabila ada tekanan sedikit, dia mula tidak fokus dan kelihatan jauh 'menyimpang' daripada topik," menurut salah seorang abangnya, Mahathir Abdul Rahman.

Mahathir Abdul Rahman tersenyum sambil memegang gambar keluarga yang diambil bersama adiknya, Mustaza ketika Hari Raya Aidilfitri.
Mahathir Abdul Rahman tersenyum sambil memegang gambar keluarga yang diambil bersama adiknya, Mustaza ketika Hari Raya Aidilfitri.

Situasi itu dikesan selama beberapa minggu sebelum mereka membuat keputusan menghantarnya berjumpa dengan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Menurut Mahathir, adiknya itu menghidap masalah gangguan tekanan pasca trauma atau post-traumatic stress disorder (PTSD) akibat daripada seksaan fizikal dan mental yang dialaminya sepanjang bergelar tahanan. 

Mahathir berkata, keputusan untuk mendapatkan rawatan dicapai secara sepakat oleh semua anggota keluarga. 

Mereka turut memberitahu rancangan tersebut kepada Mustaza yang bersetuju untuk dirawat. 

"Kebetulan ada seorang guru kaunseling yang turut ditahan di bawah Sosma bersama Mustaza yang tahu mengenai kesihatan mentalnya. 

“Kami turut mendapatkan pandangan tahanan-tahanan lain yang mengenali Mustaza," katanya. 

Selain daripada pengalaman tahanan yang pahit itu, Mustaza yang turut berdepan tekanan apabila isterinya meminta cerai. 

Menurut Mahathir, dia juga mengalami kemurungan kerana rindukan anaknya.

"Selepas bebas, dia sempat bertemu anaknya di Perak. Anaknya berusia setahun lebih ketika dia ditahan dan kini berusia tujuh tahun. 

“Tetapi kini anaknya berada di Sarawak mengikut ibunya yang menjadi guru di sana," menurut Mahathir. 

Wanita itu meminta diceraikan apabila dia tidak diterima menjadi pegawai salah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana statusnya sebagai isteri Mustaza.

Mustaza bertugas sebagai anggota polis mekanik di Ibu Pejabat Daerah Sungai Petani, Kedah ketika ditahan. 

Lelaki itu turut aktif mencari wang sampingan dengan membuka gimnasium serta menjual suplemen bina badan.

Dia sempat mengusahakan perniagaan mangga selepas dibebaskan dalam usaha mencari tapak yang kukuh untuk bangkit semula.

Namun ia tidak bertahan lama dengan keadaan mentalnya yang terganggu.

Sementara menunggu Mustaza untuk kembali pulih, Mahathir berkata keluarganya kini berharap agar Sosma dimansuhkan sepenuhnya.

Tidak dinafikan perasaan mereka terguris dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan kerajaan tidak akan memansuhkan Sosma. 

Pendirian itu bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang selama ini menentang akta yang disifatkan mereka sebagai keras.

"Saifuddin ialah ahli politik yang kalah pilihan raya dan hanya menjadi menteri selepas dilantik menjadi senator.

"Beliau hanya mendengar cakap polis yang sudah tentu menyokong Sosma dikekalkan.

“Sepatutnya beliau bertemu dengan pelbagai pemegang taruh lain sebelum membuat keputusan," katanya.

Mahathir turut berharap agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji-janjinya berhubung pemansuhan Sosma.

"Kami ada bertemu beliau di Parlimen ketika beliau ketua pembangkang. Beliau sendiri menyatakan akta ini akta 'Draconian'.

“Kes Mustaza juga dalam pengetahuan beliau," katanya.

Kini, keluarganya berharapkan berita baik daripada doktor yang merawat Mustaza.

Pada usia 36 tahun, Mustaza masih mempunyai perjalanan yang panjang dan seorang anak yang menagih kasih seorang bapa  yang selama ini tidak pernah dirasainya.