- Iklan -
Berita

Perkeso akan pinda akta untuk peruntukan geran penjagaan kanak-kanak, kata menteri

Geran satu bulan ini bersamaan 80% daripada gaji bulanan yang diinsuranskan, akan diberikan kepada kira-kira 136,800 wanita yang kembali bekerja selepas cuti bersalin panjang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 tahun ini bertujuan menyediakan peruntukan geran penjagaan kanak-kanak kepada wanita yang kembali bekerja.
Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 tahun ini bertujuan menyediakan peruntukan geran penjagaan kanak-kanak kepada wanita yang kembali bekerja.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 tahun ini untuk menyediakan peruntukan geran penjagaan kanak-kanak kepada wanita yang kembali bekerja, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

Beliau berkata geran satu bulan ini bersamaan 80% daripada gaji bulanan yang diinsuranskan, akan diberikan kepada kira-kira 136,800 wanita yang kembali bekerja selepas cuti bersalin panjang, berjumlah RM290 juta.

“Justeru, usaha berterusan sedang diambil kerajaan untuk merapatkan jurang gender, bermula dengan perlindungan dan manfaat untuk wanita dalam tenaga kerja,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Ekonomi dan Perniagaan Wanita Dunia 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Nancy berkata Akta Kerja (Pindaan) 2022 memperkenalkan beberapa perubahan ketara terhadap akta sebelum ini yang bertujuan memberi manfaat kepada pekerja dan majikan di Malaysia termasuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Akta yang dipinda itu menambah tempoh cuti bersalin bergaji daripada 60 kepada 98 hari.

Akta itu juga memperkenalkan seksyen baharu yang melarang majikan daripada memberhentikan pekerja hamil atau mengalami penyakit yang timbul akibat kehamilannya.

“Pembaharuan dasar dan pelan perundangan yang berterusan mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyokong wanita seperti penjagaan kanak-kanak atau kembali kepada dasar kerja dengan membina masyarakat yang mempunyai peluang yang sama,” katanya.

Dalam Rancangan Malaysia ke-12, Nancy berkata kerajaan berhasrat meningkatkan penyertaan pekerja wanita kepada 59 peratus menjelang 2025.

“Ini adalah penting kerana ia memberi isyarat bahawa wanita boleh mencapai kedudukan yang lebih tinggi, stereotaip yang mencabar seperti hanya wanita yang perlu mengimbangi komitmen kerjaya dan keluarga, berat sebelah yang berakar umbi bahawa lelaki sepatutnya mempunyai lebih kuasa dan keistimewaan daripada wanita dan kepercayaan bahawa wanita lebih beremosi dan sekali gus menghalang kenaikan pangkat wantia,” kata beliau.

Forum Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia bertujuan untuk menyerlahkan lagi dan meraikan pencapaian wanita. 

Ia mengumpulkan pemimpin wanita daripada kerajaan, perniagaan, media, persatuan wanita, institusi rasmi global dan pertubuhan bukan kerajaan di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada pemimpin wanita.