- Iklan -
Berita

Najib masih dirawat, perbicaraan 1MDB ditangguh

Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 21 Jun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 18 April. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 18 April. Gambar: Bernama

Perbicaraan Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan hari ini setelah bekas perdana menteri itu masih menerima rawatan di wad kerana masalah cirit-birit.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membuat keputusan itu selepas Pakar Perubatan Klinikal Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Fadhli Zil Ikram Karim memberi penjelasan mengenai keadaan kesihatan Najib semasa prosiding hari ini.

Mohd Fadhli ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau telah memeriksa Najib semasa menjalankan tugas pada 7.20 pagi tadi. Najib dimasukkan ke hospital pada Selasa.

“Apabila saya memeriksa Datuk Seri Najib, beliau mengadu masih mengalami cirit-birit dan hasil pemeriksaan mendapati beliau masih mengalami cirit-birit.

“Kami meneruskan pemantauan dan tekanan darahnya stabil. Bagaimanapun, disebabkan cirit-birit, beliau menunjukkan tanda-tanda berisiko tinggi mengalami dehidrasi. Kami perlu menahannya di wad untuk infusi garam intravena (IV) bagi menghidrat semula dan memantaunya,” kata beliau. 

Menjawab soalan Ahmad Akram, Mohd Fadhli berkata selepas berunding dengan pegawai atasannya, mereka membuat kesimpulan bahawa Najib tidak sihat untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1MDB kerana perlu dipantau dan diwadkan untuk infusi IV secara berterusan.

Najib telah diberi cuti sakit selama sehari.

Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 21 Jun.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.