Belum muktamad rakan sekutu guna lambang ‘dacing’ pada PRN, kata Zahid
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengesahkan calon yang mewakili gabungan itu akan menggunakan lambang dacing.
Terkini
Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan sama ada membenarkan rakan sekutunya dalam kerajaan bertanding menggunakan lambang parti gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang, kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita tidak menolak jika ada parti-parti lain dalam kesepakatan Kerajaan Perpaduan, jika mereka berhasrat untuk menggunakan lambang BN, namun ia belum dimuktamadkan. Hasrat itu ada (parti guna lambang BN) tetapi belum dimuktamadkan,” kata Zahid yang juga presiden Umno.
Bagaimanapun beliau berkata Dewan Tertinggi BN telah memutuskan calon BN akan menggunakan lambang BN pada PRN.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di Putrajaya hari ini.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya BN Mohamad Hassan berkata BN sedang mempertimbangkan hasrat parti bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan lambang dacing pada PRN akan datang.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.