- Iklan -
Berita

Perbicaraan 1MDB ditangguh, Najib alami cirit-birit

Perbicaraan akan disambung semula Khamis ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 17 April. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 17 April. Gambar: Bernama

Perbicaraan Najib Razak berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sementara, dan akan disambung semula Khamis ini, selepas bekas perdana menteri itu dilaporkan mengalami masalah cirit-birit sehingga terpaksa dirujuk kepada pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni memberi penjelasan tentang keadaan kesihatan bekas perdana menteri itu dalam prosiding hari ini.

Hafiz yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau dimaklumkan oleh pembantu pegawai perubatan pada 7.15 pagi ini bahawa Najib mengadu tidak sihat dan mengalami cirit-birit.

“Ketika saya berjumpa Najib, beliau mengadu mengalami sakit perut, loya selain cirit-birit. Walaupun telah diberikan ubat, namun selepas 10 minit keadaan Datuk Seri (Najib) masih tidak berubah dan pemeriksaan lanjut mendapati beliau turut mengalami masalah kekurangan air serta sedikit demam dengan suhu 37.8 darjah celcius.

“Saya kemudian merujuk Datuk Seri kepada doktor pakar di HKL dan beliau dibawa ke sana pada pukul 9.30 pagi. Ketika itu, beliau kelihatan penat, lesu dan kekurangan air,” katanya. 

Menurutnya doktor pakar di HKL kemudian memberikan cuti sakit kepada Najib selama dua hari, dan disahkan tidak cergas untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah serta tidak mampu berdiri atau duduk terlalu lama selain perlu diberikan rawatan ‘drip’.

Sementara itu menjawab soalan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Hafiz berkata Najib yang didapati mengalami cirit-birit sejak semalam, dirujuk ke HKL bagi mendapat rawatan yang lebih baik.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.