- Iklan -
Berita

Laporan salah laku 125 anggota polis sedang disiasat, kata KPN

Acryl Sani Abdullah Sani memberi jaminan bahawa polis tidak akan melindungi mahupun menyembunyikan sebarang kesalahan anggotanya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama

Polis telah menyediakan laporan lengkap berhubung isu salah laku anggotanya seperti didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. 

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sedang meneliti laporan yang dikatakan belum diambil tindakan oleh PDRM seperti dimaklumkan SPRM. 

Katanya, beliau memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau ambil ringan selain  bekerjasama erat dengan agensi berkaitan antaranya SPRM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk memastikan integriti dalam pasukan sentiasa ditegakkan.

"Laporan lengkap mengenai isu ini telah pun disediakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), dalam masa yang sama kita sedang meneliti laporan yang dikatakan kita tak maklum kepada SPRM untuk tindakan diambil kepada mereka yang terlibat. 

"Mungkin dalam proses, mungkin ada yang lambat hantar … tak ada laporan yang kita ketepikan dan tak disusuli dengan tindakan kerana kami pandang serius apa juga pelanggaran tatatertib selain berpegang teguh dengan integriti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semalam yang akan meneliti laporan bahawa terdapat 125 laporan salah laku melibatkan anggota polis yang belum diambil tindakan seperti didedahkan SPRM. 

Acryl Sani ditemui ketika Majlis Pemakaian Pangkat, Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang dan Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini. 

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata terdapat 553 laporan salah laku tidak diendahkan oleh agensi kerajaan walaupun syor agar tindakan diambil telah dibuat oleh SPRM, dengan 125 laporan membabitkan anggota PDRM.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang berkuat kuasa hari ini menggantikan Ramli Mohamed Yoosuf yang akan bertugas sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.