- Iklan -
Berita

Jho Low atasi pengarah 1MDB dalam keputusan pelaburan luar pesisir, kata saksi

Kevin Micheal Swampillai, saksi pendakwaan ke-44 dalam perbicaraan, memberi keterangan bahawa Low memberi persetujuan untuk pelaburan itu dilakukan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho. Gambar: AFP
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho. Gambar: AFP

Bekas pegawai bank Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa berdasarkan pemerhatiannya, Jho Low adalah pihak atasan yang memberi kebenaran berhubung keputusan kewangan membabitkan pelaburan luar pesisir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Brazen Sky Limited.

Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan BSI Bank, Kevin Micheal Swampillai, 59, bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak bahawa situasi itu menjadikan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho kelihatan lebih berkuasa, mengatasi dua pengarah 1MDB, Terence Geh dan Azmi Tahir.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Brazen Sky adalah syarikat yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 di British Virgin Islands (BVI) sebagai transit atau jentera tujuan khas (SPV) untuk menghantar balik dana pelaburan 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata tanggapannya ialah Azmi dan Geh tidak diberi kuasa untuk membuat sebarang keputusan yang melibatkan transaksi itu dan mereka perlu merujuk kepada pihak berkuasa yang lebih tinggi, yang diperhatikan menunjuk kepada Jho Low, ahli perniagaan yang kini dalam buruan.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Shafee pada perbicaraan Najib dalam kes membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Shafee: Urusan di Brazen Sky tidak boleh bergerak melainkan Azmi dan Geh kata 'ya', tetapi apa yang kamu katakan dalam pernyataan saksi kami ialah Jho Low mengatasi mereka? Keputusan itu mengikut keputusan Jho Low?

Kevin: Ya.

Shafee: Dalam pernyataan saksi, kamu juga menyatakan bahawa Najib adalah pihak berkuasa yang lebih tinggi yang kamu telah jelaskan sebagai andaian semata-mata, tetapi sekarang ini jawapan kamu kelihatan bercanggah dengan Perenggan 48 (pernyataan saksi) berhubung transaksi yang merujuk kepada 'pihak berkuasa lebih tinggi' sebagai Jho Low, di mana Jho Low mengatasi mereka (Azmi dan Geh)?

Kevin: Ya.

Shafee: Ia bukan keadaan di mana  perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu (Najib) mengatasi mereka (Azmi dan Geh)?

Kevin: Ya.

Kevin berkata beliau tidak akan menyangka Najib akan terlibat dalam urus niaga ini memandangkan ia adalah urusan operasi yang memerlukan pengurusan mikro.

Terdahulu, saksi itu mengulangi bahawa Jho Low mengancam untuk membawa perniagaan berkaitan 1MDB ke tempat lain setiap kali wakil BSI menekannya mengenai 1MDB untuk mendapatkan penjelasan atau soalan lanjut mengenai transaksi tersebut.

Beliau berkata Yak Yew Chee, yang pada masa itu merupakan pengurus perhubungan BSI, adalah individu utama yang berurusan dengan Jho Low berhubung isu berkaitan 1MDB.

"Saya tidak tahu di mana Yak ketika ini. Kali terakhir saya bertemu Yak di Singapura pada awal tahun ini," kata saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.