- Iklan -
Berita

SPRM tahan individu terlibat seleweng dana 1MDB, SRC International

Individu tersebut telah dibawa pulang ke Malaysia dengan kerjasama agensi penguat kuasa dari luar negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Logo 1MDB dilihat pada papan iklan di tapak pembangunan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2015. Gambar: AFP
Logo 1MDB dilihat pada papan iklan di tapak pembangunan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur pada 8 Julai 2015. Gambar: AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang individu yang sedang dalam siasatan agensi itu kerana disyaki menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

SPRM dalam satu kenyataan berkata, kejayaan membawa pulang individu yang menghilangkan diri sejak 2018, adalah hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara.

Menurut sumber SPRM, individu berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada 3 Mei jam 3.30 pagi.

“Sebaik tiba di KLIA2, beliau kemudian diserahkan Notis Perintah untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10.00 pagi kelmarin. 

“Pegawai SPRM telah merakamkan keterangan beliau dan penggeledahan rumah telah dilakukan pada hari yang sama,” kata agensi pencegahan rasuah itu.

Menurut sumber SPRM, hasil siasatan mendapati individu terbabit dipercayai telah menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited. 

Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) telah melaporkan berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira AS$5.2 juta (RM23.1 juta).

Selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa beliau telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M). 

Menurut sumber, SPRM dengan kerjasama CAD Singapura telah berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada syarikat Totality Limited milik Tang Keng Chee pada 26 April lalu.

"Tang Keng Chee ataupun dikenali sebagai Casey Tang merupakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB dari tahun 2012 hingga 2013. 

"Beliau terlibat dengan 1MDB ketika itu dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2011. Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta (RM3.1 bilion) kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho (Jho Low)," kata sumber itu lagi.

Sumber berkata, pihak SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap bertarikh 29 Jun 2018 terhadap Tang yang masih tidak dapat dikesan dan menghilangkan diri kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata SPRM kini sedang berusaha untuk membawa pulang beberapa lagi aset daripada individu-individu yang terlibat di Singapura.

Menurutnya, SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70% aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.